Search This Blog

Tuesday, February 12, 2019

Secara Dasarnya PAS akui audio tersebar milik suara Nik Abduh


PAS mengakui rakaman audio yang tersebar membuat pengakuan mengenai penerimaan wang jutaan ringgit daripada UMNO adalah suara milik Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, mengesahkan konteks ayat yang disampaikan Ahli Parlimen Bachok itu bukan seperti yang dicanangkan oleh pihak tertentu.
Oleh itu, beliau berkata, seseorang perlu meneliti keseluruhan ucapan Nik Abduh untuk memahami maksud sebenar memandangkan banyak huraian disampaikan, bukannya mendengar separuh saja daripada rakaman itu.
“Nik Abduh akui suara dan audio (milik) dia, tapi tidak membawa konteks maksud yang sebenar. Disebut PAS terima duit UMNO bukan itu maksudnya...banyak lagi huraian.
“Bila kita mendengar audio itu, kita kena dengar keseluruhan apa maksud kenyataan itu, bukannya ambil separuh kerana kalau separuh memang ada benda tidak kena.
“Sebagai contoh, apabila Nik Abduh kata (Allahyarham Datuk) Nik Abdul Aziz (Nik Mat) pun terima duit UMNO, (yang dimaksudkan) bukan duit UMNO, tapi duit orang UMNO yang beri sumbangan terutama di sekolah Maahad Darul Anuar.
“Ada orang yang ideologi UMNO tapi apabila Tok Guru nak buat sekolah, dia nak beri sumbangan...bukan bermaksud duit daripada parti UMNO, tapi duit daripada ahli UMNO itu sendiri,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Al Khatiri Kofee, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, berkata PAS sudah melakukan siasatan terperinci bagi meneliti apa yang berlaku termasuk ucapan yang disampaikan Nik Abduh secara keseluruhan.
“Kita boleh mengesahkan konteks ayat yang dimaksudkan Nik Abduh secara keseluruhan bukan sebagaimana dicanangkan (pihak tertentu).
“Konsep kita, siapa nak beri sumbangan, kita kena terima dan perkara ini tidak perlu tanya sama ada (penyumbang itu) dari UMNO atau PAS. Wang daripada UMNO memang tiada,” katanya. - BH

No comments: