Search This Blog

Tuesday, August 21, 2018

Sketsa perbualan antara Khadam & Lebai.

Saya ada satu cerita utk dikongsi...harap² terhibur lah ye...

Perbualan di kedai Kopi antara seorang Lebai dan Khadam di sebuah kampung .

Khadam = PAS skrg dh x mcm dulu, skrg PAS bergabung dgn  UMNO

Lebai =  PKR dan PAN dah x mcm dulu, dulu lawan Tokdet, skrg angkat Tokdet jadi hero.

Khadam = PAS gadai prinsip sbb bersama dgn UMNO yg kaki rasuah, merompak duit rakyat, salah guna kuasa.

Lebai = PKR gadai prinsip sbb bersama dgn Tokdet yg bapak segala perasuah, bapak perompak, kepala penyamun,22 tahun jadi PM anak beranak semua jutawan..dulu PKR dan PAN la yg gelar tokdet maha firaun,maha zalim.. Skrg boleh angkat jadi ketua.. Huhu

Khadam = tu dulu, masa dia berkuasa, skrg dia dh xde kuasa,dia dh insaf, dia nk perbetulkan balik kesalahan dia. 

Lebai = UMNO pon mcm tu jgk.. Tu dulu masa mereka ada kuasa, mmg mereka kaki rasuah ,lupa diri dan sebagainya, skrg UMNO dh xde kuasa, dh xde ape2, Umno pon dh dihukum oleh rakyat dgn kekalahan dlm PRU, UMNO pon nmpk mcm sudah sedar akan kesilapan mereka, apa salahnya bg mereka peluang untuk berubah dan perbaiki balik kesilapan mereka. 

Khadam = xkn pelbagai kerosakan yg UMNO buat dulu PAS boleh maafkn mcm tu ja?? 

Lebai = xkan pelbagai kerosakan, kezaliman yg Tokdet buat dulu khadam boleh maafkn dan sucikan mcm tu je?? Tanpa didakwa?? Tanpa ada siasatan?? Dimana ketelusan dan keadilan dlm PH??? 
PAS xpernah sucikan UMNO, klu betul UMNO salah, kerajaan PH siasat dan dakwa la mereka yg bersalah tu.. PH kn dah ada kuasa, apa lg, siasat la.. Tu kerja kerajaan PH bukan kerja PAS 

Khadam.. Emmm.. Emmmm. Emmmm.. Sudah la.. Mcm ni la perangai org PAS, sentiasa nak menang xboleh terima teguran, xboleh dikritik. 

Lebai = aik.... Kite dh jawab dgn hujjah pon, masih nk ckp kita x boleh terima kritikan.. Dasar khadam... 

Antara perbualan lebai dan khadam.. 
Nasib baik x hentak meja sebab naik syeikh ..

Sunday, August 19, 2018

KENAPA PAS SOKONG MCA SEBAGAI DALAM BLOK PEMBANGKANG ?

1. Sangat menarik untuk difahami gesaan Presiden PAS agar ahli PAS memberikan sokongan kepada MCA dalam PRK Balakong. Gesaan beliau sudah tentu mendapat respon negatif daripada penyokong PH. Hal ini kerana mereka sudah mula boleh mencium bala yang akan menimpa politik PH sekiranya PAS mampu bekerjasama dengan MCA dalam PRK atau PRU akan datang.
2. Seorang Ahli Parlimen DAP di Dewan Rakyat pada minggu lepas pernah menjerit-jerit tanpa menggunakan pembesar suara "kenapa PAS sokong MCA yang tolak Hudud?". Ia satu gambaran betapa mereka tidak memahami prinsip PAS apabila bersama dan menyokong DAP dalam Pakatan Rakyat suatu ketika dahulu.
3. Malah, saya sendiri berucap menjelaskan kewajipan mengundi calon DAP dalam satu program besar PAS di Kuala Selangor sebelum PRU13 dengan hujah dan dalil syarie sebagaimana sekarang saya berhujah untuk jangan mengundi DAP juga dengan hujah dan dalil syarie.
4. Jawapannya adalah ia semata-mata kerana prinsip dan dasar. Prinsip dan dasar itu mewajarkan PAS sama ada menyokong atau tidak menyokong DAP atau MCA atau PKR atau mana-mana parti politik dalam konteks pilihanraya sebagai satu strategi.
5. Prinsip dan dasar itu ialah :
*PERTAMA  Kerjasama untuk memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat. Inilah titik kebersamaan yang mewajarkan hubungan kerjasama antara parti politik.
*KEDUA  Menerima bahawa dasar perjuangan politik PAS ialah Islam dan tidak mempertikaikannya. Selagi sesebuah parti tidak mempertikaikan perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS serta menerimanya sebagai hak demokrasi PAS maka PAS boleh sahaja bekerjasama dengan mereka.
*KETIGA  Menerima pakai prinsip "bersetuju untuk tidak bersetuju" sebagai prinsip bersama dalam menyelesaikan perbezaan dasar dan pandangan parti masing-masing.
DAP tentunya tidak bersetuju dengan perjuangan menegakkan undang-undang jenayah Islam atau dipanggil dengan bahasa mudah oleh orang awam sebagai "hudud".
Tetapi dulunya mereka menerima ia sebagai perjuangan PAS dan menerima bahawa PAS telah mengkanunkannya sebagai undang-undang di Terengganu dan Kelantan. PAS dan DAP saling bersetuju bahawa itu antara perkara yang tidak dipersetujukan bersama. Ini adalah prinsip penting dalam membina kebersamaan.
Maka atas dasar persetujuan itulah PAS bersama dengan DAP, dan oleh kerana mereka melanggar persetujuan itu juga maka PAS tidak lagi bersama DAP.
*KEEMPAT  Prinsip menilai mudarat yang ringan dan berat. Ia adalah prinsip Islam yang dipegang oleh PAS. Apabila bertembung antara dua kemudaratan yang akan timbul dari sokongan terhadap mana-mana pihak dalam pilihanraya maka sokongan diberikan kepada pihak yang lebih ringan kemudaratannya agar kemudaratan yang lebih besar boleh tertolak. Prinsip sebegini tidak mungkin dapat difahami oleh ahli dan parti politik yang tidak berprinsip.
Dalam PRK Balakong, penilaian PAS ialah menyokong DAP yang telah menjadi kerajaan dengan pelbagai desakan mereka yang mengancam Islam dan Melayu adalah lebih mudarat berbanding menyokong MCA yang berstatus pembangkang meskipun dasar dan perjuangan MCA mungkin tidak berbeza banyak dengan DAP.
Dalam PRK Sg Kandis, PAS memberikan sokongan kepada calon UMNO atas dasar kepentingan bersama menolak ancaman PH sebagai sebuah kerajaan meskipun PAS dan UMNO mempunyai dasar dan prinsip berbeza dalam beberapa perkara. Justeru, kali ini hasilan daripada itu, PAS pula mendapat dokongan UMNO untuk PRK Seri Setia.
6. Inilah prinsip-prinsip umum yang melatari pendirian PAS dalam bekerjasama atau tidak dan menyokong atau tidak menyokong mana-mana pihak. Prinsip ini tentunya gagal dihayati oleh parti dan orang politik yang tidak berprinsip.
7. Atas dasar ini semua, PAS akan terus melayari bahtera politik di negara ini sebagai sebuah parti berprinsip yang terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk DAP sekalipun.
Sekian.
“Sejahtera Bersama Islam”
DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Isnin, 20 Ogos 2018 | 08 Zulhijjah 1439H

Friday, August 17, 2018

Martabatkan BM dalam agensi kerajaan

GENAP 100 hari pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan (PH), antara aspek yang seakan terabai dan mengalami pemencilan ialah usaha memartabatkan Bahasa Kebangsaan. Kita memiliki segerombolan para Menteri dan Timbalan Menteri yang sangat lemah penguasaan Bahasa Kebangsaan, malah sering meremehkan bahasa ini dengan menganggap Bahasa Kebangsaan tidak penting. Mereka memuat turun kenyataan media dalam Bahasa Ibunda tanpa mempedulikan bantahan tokoh-tokoh budaya dan pencinta keamanan negara.
Usaha merobek Bahasa Kebangsaan akan memberikan dampak yang sangat negatif kepada masa depan negara, termasuk usaha mengiktiraf UEC. Persijilan melalui Pendidikan Swasta Cina yang tidak mengutamakan Bahasa Kebangsaan malah menebalkan politik komunal di negara ini.
Memperkasa Bahasa Malaysia adalah suatu perjuangan yang mesti dipertahankan agar Bahasa Kebangsaan sentiasa dimartabatkan kedudukannya di negara ini. Pelantikan beberapa tokoh yang mengetuai beberapa agensi penting negara dari kalangan bukan berbangsa Melayu serta tidak mahir menguasai Bahasa Malaysia akhir-akhir ini menjadi isu yang perlu dijadikan iktibar betapa Bahasa Kebangsaan ini semakin terpinggir dan tidak dipedulikan.
Kerajaan sepatutnya sedar mengenai perkara ini dan serius bagi memastikan semua agensi kerajaan dan swasta, pemimpin politik, institusi pendidikan dan syarikat serta badan berkanun di negara ini menggunakan Bahasa Malaysia. Jika dibiarkan, rakyat semakin melupakan Bahasa Malaysia dan menjadikan Bahasa Ibunda mereka sebagai medium komunikasi. Kesannya, semangat patriotik dan perpaduan dalam negara semakin longgar dan lemah.
Tindakan terbaharu Polis Di Raja Malaysia (PDRM) menggunakan Bahasa Inggeris untuk operasi dan taklimat harian semakin menunjukkan usaha meminggirkan Bahasa Malaysia. Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun seperti mana yang dilaporkan oleh portal berita Malaymail, arahan belajar Bahasa Inggeris dalam komunikasi datangnya dari Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Justeru, PDRM akan menggunakan medium Bahasa Inggeris sebagai medium komunikasi termasuk dalam penulisan mereka di masa-masa akan datang. Perdana Menteri juga mengelak untuk menjawab isu ini di Dewan Rakyat oleh Ahli Parlimen Kubang Kerian, Dato Tuan Ibrahim Tuan Man minggu ini.
Langkah PDRM adalah sesuatu yang tidak wajar. Sebagai pasukan utama menjaga keselamatan dalam negara, PDRM perlu menjadi contoh kepada masyarakat dengan menjadikan entiti mereka dihormati, berintegriti dan dirujuk oleh semua bangsa. Mereka perlu mengekalkan penguasaan Bahasa Malaysia dan mana-mana pihak di dalam negara ini yang mahu berurusan dengan mereka, perlu menguasai Bahasa Malaysia. Malah, tahap penguasaan Bahasa Malaysia dari kalangan anggota PDRM perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa mengikut peredaran masa dan zaman. Ia adalah pendidikan berterusan supaya semua pihak menghormati Bahasa Kebangsaan ini.
Mempelajari Bahasa Inggeris tidak menjadi suatu kesalahan, kerana menguasai banyak bahasa selain Bahasa Malaysia (BM) adalah satu kelebihan. Tetapi meletakkan Bahasa Inggeris melebihi Bahasa Malaysia di dalam negara ini adalah satu kesalahan yang serius dan tidak patriotik. Ini adalah asas kepada usaha memecahkan kedaulatan negara agar rakyat yang berbilang kaum tidak lagi bergantung kepada BM dalam kehidupan harian mereka di negara ini, malah menganggap BM bukan lagi bahasa terpenting dalam negara.
Bahasa Kebangsaan mempunyai keunikan dan kekuatannya tersendiri. Ia patut dikagumi dan dibanggakan oleh semua kaum di negara ini. Masyarakat antarabangsa amat menghormati dan berusaha mempelajari BM kerana nilai seninya yang halus dan tinggi. Rakyat Malaysia yang mempunyai pelbagai jalur latarbelakang kaum, bahasa dan budaya dapat bersatu kerana menggunakan Bahasa Kebangsaan. Mengapa pula Kerajaan PH tidak berusaha mengekalkan keharmonian dan perpaduan kaum yang utuh selama ini? Apakah Kerajaan PH meragui keupayaan bahasa ini setelah hampir tujuh dasawarsa digunakan, atau kerana majoriti penuturnya terdiri daripada kaum yang terperuk ekonominya?
Bahasa adalah jiwa bangsa, kekalkan kedaulatan Bahasa Kebangsaan, malah sewajarnya Bahasa Kebangsaan menjadi cerminan arca perpaduan kepada tanah air yang berdaulat ini. Kalian bukan sahaja gagal melunaskan janji-janji yang terkandung dalam manifesto pilihan raya, namun juga gagal memberdayakan Bahasa Kebangsaan dalam kegunaan rasmi negara.
(Penulis adalah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Pengerusi LESTARI)

Mansuh Akta803: Mesej songsang PH

MALAYSIA antara pengguna media sosial yang terbesar di Asia yang mencatatkan seramai 24 juta pengguna internet dan lebih 51 peratus menggunakan aplikasi WhatsApp sebagai wadah berkongsi berita dan maklumat menurut laporan Digital News pada Januari 2018. Laporan tersebut turut menyatakan bahawa rakyat Malaysia mendapatkan berita melalui media sosial sebanyak 86 peratus, bercetak sebanyak 45 peratus, televisyen sebanyak 54 peratus dan radio (15 peratus). Ini menjadi bukti bahawa penggunaan media sosial dalam kalangan masyarakat Malaysia hari ini adalah sangat dominan.
Pada April 2018, kerajaan terdahulu daripada Barisan Nasional (BN) telah membentangkan serta meluluskan suatu akta yang sangat baik, iaitu Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang kita semua sedia maklum; (i) menyediakan hukuman denda kepada sesiapa sahaja yang menularkan suatu bentuk berita tidak benar iaitu tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi 6 tahun, (ii) menetapkan bahawa pemberhentian penularan harus dilakukan, serta (iii) kegagalan melaksanakannya boleh didenda sebanyak RM100,000 dan RM3,000 bagi setiap hari daripada hari disabitkan kesalahan.
Kita menyaksikan, akta ini menerima reaksi yang pelbagai, baik daripada rakyat bawahan, mahupun pemimpin parti-parti politik yang sentiasa dinilai tindak-tanduknya oleh rakyat. PAS bersetuju, manakala Pakatan Harapan (PH) membantah tidak bersetuju atas beberapa alasan yang begitu teknikal. Rakyat pula, ada yang menyokong dan ada pula yang sebaliknya. Pendapat yang menyokong sangat ramai kerana hal ini adalah selari dengan nilai-nilai Islam yang telah diajarkan, serta menepati logik akal fikiran yang sihat; namun yang tidak menyokongnya juga tidak kurang besar jumlahnya. Antara alasan yang dikemukakan adalah; akta ini akan menyekat hak kebebasan bersuara, oleh pengamal media terutamanya. Sebenarnya, pandangan ini adalah kurang tepat kerana Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang digubal sebelum ini, menerusi Seksyen 8A juga ada menggariskan kesalahan bagi penyiaran sebarang berita palsu. Namun yang demikian, meskipun adanya di situ sebuah peruntukan undang-undang, ia dilihat gagal untuk membendung penyebaran berita tidak benar yang semakin menular susulan ledakan teknologi maklumat, yang tumbuhnya seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan, bahkan saya percaya, tentu akan tumbuh lebih banyak lagi bila mana akta ini dimansuhkan.
Menyentuh kes-kes yang melibatkan berita tidak benar, khususnya yang melibatkan amalan berpolitik di negara kita; kita dapati kes-kes yang bakal saya kemukan ini bukan sahaja memadai bahkan cukup kuat bagi mendorong dan mendesak rakyat agar turut bersama-sama menyokong akta ini.
Pertama adalah pada 2014 yang lalu, di mana kita telah menyaksikan bagaimana bekas MB Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim terpaksa berdepan suasana fitnah ke atasnya demi sebuah matlamat jangka pendek sekumpulan pihak yang dinamakan sebagai Langkah Kajang. Tidak kiralah langkah itu berjaya ataupun tidak berjaya; persoalannya adakah ianya betul. Ketika kempen memaksa Khalid meletak jawatan, PKR dan DAP telah mengeluarkan sebuah dokumen kenyataan sebanyak 91 muka surat yang mengandungi tuduhan dan fitnah ke atas beliau berkenaan segala macam salah laku dan rasuah yang mana ia sering diulang-ulang di pentas-pentas ceramah mereka. Setelah menyaman PKR pada Ogos 2014, yang mana ketika itu, Khalid turut mengarahkan pembantunya untuk menyerahkan laporan PKR berkenaan kaitan pemimpin PKR dengan urus niaga yang meragukan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang memohon badan tersebut untuk menyiasat dakwaan ke atasnya – sekali gus menjadi orang yang julung kali meminta dirinya disiasat bagi kes rasuah, di Malaysia. Setahun kemudian, selepas Khalid diturunkan daripada jawatan MB Selangor, Khalid memenangi kes saman malunya terhadap PKR apabila bekas Setiausaha Agung PKR waktu itu membacakan permohonan maaf secara terbuka di dalam mahkamah. Permohonan maaf itu adalah tanpa syarat dan PKR mengakui setiap tuduhan dan dakwaan terhadap Khalid adalah tidak benar dan berniat memfitnah.
Kes kedua pula adalah kes yang berlaku pada tahun lepas. Lanjutan usul RUU 355 yang sedang hangat dibicarakan, Rafizi dalam debat Parlimen olok-olok anjuran PKR pada 10 April 2017 yang lalu mengeluarkan satu kenyataan bahawa pindaan Rang Undang-undang Mah­kamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) yang tidak menaikkan gaji Hakim Mahkamah Syariah akan meningkatkan ri­si­ko pengambilan rasuah dan sa­lah guna kuasa dalam kalangan Hakim-hakim Mahkamah tersebut. Beliau berkata, rekod Hakim yang ditangkap dan ditahan kerana ra­suah menunjukkan bahawa rekod Hakim Mahkamah Syariah adalah lebih tinggi berbanding Hakim Mahkamah Sivil. Sedangkan sehingga waktu itu, hanya satu sahaja kes rasuah melibatkan Hakim Syarie yang telah didakwa dan disa­bitkan kesalahan, sekali gus dapatlah dikonklusikan bahawa kenyataan Rafizi adalah merupakan suatu fitnah dan penghinaan kepada Institusi Kehakiman Syariah serta Hakim-hakimnya. Kita melihat, kenyataan ini tidak lain adalah untuk menimbulkan kekeliruan serta mengurangkan kepercayaan masyarakat terhadap Institusi Kehakiman Syariah dengan cara merendahkan martabat dan kedudukan Hakim-hakim Syariah yang selama ini dihormati dan dipandang tinggi oleh masyarakat terutamanya dalam kalangan orang Islam.
Kes yang terakhir pula, adalah kes saman fitnah RM90 juta terhadap Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Kewujudan kes ini juga turut menguatkan lagi hujah saya terhadap kepentingan akta ini. Setelah PAS difitnah bekerjasama dengan menerima sejumlah besar wang daripada Umno melalui beliau, kita akhirnya menyaksikan keputusan mahkamah yang memihak kepada PAS apabila editor Sarawak Reports, Clare Rewcastle Brown diperintahkan supaya membayar sebanyak RM156,197 (£28,900) atas tuduhan tidak berasas tersebut. Tuduhan ini dilihat tidak lain, bermatlamatkan supaya masyarakat menganggap bahawa PAS sememangnya mahu bergabung dengan Umno ketika Pilihan Raya Umum yang lalu. Walaupun sudah terbukti tidak berasas, namun fitnah ini masih lagi dipercayai oleh sebahagian besar masyarakat di Malaysia.
Tiga kes yang saya bawakan ini memperlihatkan bahawa ketiga-tiganya adalah berpandu kepada sikap matlamat menghalalkan cara, atau cara pandang sebagaimana yang pernah disebut oleh Nicollo Machiavelli, “the ends justify the means”. Akhirnya, ia membunuh nilai-nilai paling asas dalam sebuah masyarakat demi mencapai matlamat jangka pendek dan juga sekadar memenuhi kepentingan peribadi satu pihak sahaja lalu menindas yang lain daripadanya. 

Apabila kita berbicara dari sudut pandang Islam, kita sedia maklum, bahawa fitnah adalah dosa yang begitu besar hukuman dan azabnya di sisi Allah. Ini termaktub dalam dalil-dalil yang ada. Al-Quran sebagai kitab mukjizat ilmu adalah suatu petunjuk di sepanjang zaman. Ia memandu setiap insan yang beriman, berakhlak dan bertaqwa. Ia menyedarkan betapa kewajipan kita di hadapan Allah adalah besar dan berat. Ia juga menuntut kita agar menggunakan segala nikmat pancaindera kurniaan Allah dengan betul dan tepat, kerana semuanya nanti akan dihisab di Hari Kiamat.
Firman Allah S.W.T dalam Surah al-Isra’ ayat 36:
وَلَا تَقۡفُ مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٌۚ إِنَّ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡبَصَرَ وَٱلۡفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَٰٓئِكَ كَانَ عَنۡهُ مَسۡ‍ُٔولٗا
"(Terjemahannya) Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta rasa hati (akal fikiran), semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya mengenai apa yang dilakukannya.”
Di antara petunjuk al-Quran juga adalah bertabayyun. Ia memberi amaran kepada kita supaya tidak mengambil suatu maklumat yang sampai kepada kita dengan mudah, tanpa mengira benar dan salah. Firman Allah dalam Surah al-Hujurat ayat 6:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن جَآءَكُمۡ فَاسِقُۢ بِنَبَإٖ فَتَبَيَّنُوٓاْ أَن تُصِيبُواْ قَوۡمَۢا بِجَهَٰلَةٖ فَتُصۡبِحُواْ عَلَىٰ مَا فَعَلۡتُمۡ نَٰدِمِينَ
"(Terjemahannya) Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka bertabayyunlah (selidikilah untuk menentukan kebenarannya), supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”
Kepada mereka yang sikapnya suka menyebar berita bohong dan fitnah pula, ingatlah bahawa amaran Allah lebih keras dan janji-Nya adalah benar. Firman Allah dalam Surah al-Nur ayat 19:
إِنَّ ٱلَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ ٱلۡفَٰحِشَةُ فِي ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ فِي ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأٓخِرَةِۚ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ
"(Terjemahannya) Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara), sedangkan kamu tidak mengetahui (yang demikian).”
Firman Allah lagi dalam Surah al-Buruj ayat 10:
إِنَّ ٱلَّذِينَ فَتَنُواْ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ وَٱلۡمُؤۡمِنَٰتِ ثُمَّ لَمۡ يَتُوبُواْ فَلَهُمۡ عَذَابُ جَهَنَّمَ وَلَهُمۡ عَذَابُ ٱلۡحَرِيقِ
"(Terjemahannya) Sesungguhnya orang-orang yang menimpakan fitnah (bencana) terhadap orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab Neraka Jahannam (kerana perbuatan buruk itu) dan mereka akan beroleh lagi azab api neraka yang kuat membakar (kerana mereka tidak bertaubat).”
Secara logik akalnya pula, akta ini dilihat sangat baik dalam aspek menjaga keselamatan bukan sahaja di peringkat individu, bahkan politik bernegara. Tidak kira sama ada yang mentadbir adalah Kerajaan BN, PH, atau siapa pun jua. Mana-mana kerajaan akan menanggung akibatnya jika sebaran berita palsu ini masih lagi dianggap mainan dan isu remeh-temeh. Yang lebih menakutkan, jika kita pula yang mengambilnya sebagai strategi dan amalan, semata-mata untuk mencapai menang yang sekejap.
Sirah menunjukkan, Rasulullah S.A.W sendiri bertindak menghancurkan Masjid al-Dhirar yang dibina oleh golongan Munafik untuk menyebarkan berita palsu dan memecah-belah kesatuan umat Islam. Justeru, seharusnya, di saat inilah kerajaan perlu meneladani dan mempamerkan kepada rakyat ‘political will’ yang tinggi bagi membendung amalan buruk ini, yang sayang sekali, apa yang berlaku hari ini adalah yang sebaliknya.
Maka, di bawah tajuk ini juga, saya berasa terpanggil untuk mengemukakan beberapa cadangan lain yang perlu diambil perhatian oleh pihak kerajaan bagi membendung sedikit sebanyak; mara bahaya, fitnah dan keburukan gejala media sosial yang tidak terkawal hari ini, demi kebaikan semua rakyat; baik Melayu, India mahupun Cina. Baik yang beragama Islam, mahupun yang bukan.
Memastikan wujudnya sebuah undang-undang yang berkesan bagi menyekat penularan berita tidak benar, dalam masa yang sama ia mestilah tidak disalahgunakan atau bersikap bias kepada mana-mana pihak yang berkepentingan.
Sentiasa menyemak semula dan melakukan pindaan penguatkuasaan supaya akta ini lebih efektif, sekali gus mendidik rakyat supaya lebih berhati-hati dalam setiap maklumat yang disebarkan; bukannya bergerak semula ke belakang.
Menghidupkan kesedaran rakyat bahawa fitnah perlu dibendung. Antara modus operandinya adalah pemerkasaan sistem pendidikan dengan memasukkannya ke dalam mana-mana topik pelajaran dalam silibus pendidikan anak-anak hari ini, seperti Subjek Moral, Subjek Pendidikan Islam ataupun Subjek IT; yang mana dirasakan sesuai. Subjek ini berperanan memberi fokus terhadap isu-isu berkaitan, termasuklah bahaya fitnah dan panduan menggunakan media dengan betul dan wajar. Ini memerlukan peranan dan penggemblengan tenaga daripada pihak Kementerian Pendidikan dan juga Kementerian Komunikasi.
Sekali lagi, saya dengan ini menegaskan bahawa Akta Antiberita Tidak Benar ini adalah tidak wajar dimansuhkan dan seharusnya disokong walau siapapun jua yang mengusulkannya. Sebaliknya, ia boleh dipinda dari masa ke semasa bagi menambah baik akta sedia ada jika terdapat kekurangan dan sedikit kecacatan. Ingatlah, kita diberi amanah dan rakyat yang besar jumlahnya sedang menilai bagaimana kita boleh sampai kepada suatu keputusan yang sangat dangkal; bercanggahan dengan Hukum Islam serta logik akal seorang manusia yang sihat akal fikirannya.
Hanya pencuri yang takut dengan hukuman mencuri, dan hanya yang menyebarkan berita tidak benar sahaja yang takut dengan hukuman yang kita bincangkan hari ini. Jika tidak mahu dianggap oleh rakyat sebagai penyebar berita tidak benar, maka buktikanlah dan perkasakanlah undang-undang ini sehabis baik, tanpa perlu berlapikkan alasan-alasan teknikal yang maksudnya tidak lain cuma untuk menafikan undang-undang yang lebih tegas ini.
Ya, kita bebas bersuara. Tapi, bukanlah bebas tanpa ada sempadan, pagar dan batas. Kebebasan tanpa batas, sebenarnya ia sendiri adalah suatu bentuk penghambaan, iaitu penghambaan kepada nafsu dan kehendak diri sendiri yang selalu pada akhirnya mendorong manusia ke lembah kehinaan. Kebebasan yang betul, adalah kebebasan yang berpandukan kepada prinsip betul salah, sebagaimana yang telah digariskan oleh Allah, walaupun ianya, dalam beberapa keadaan sangat berlawanan dengan kehendakl peribadi kita.
Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 21:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ اعْبُدُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ وَالَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
"(Terjemahannya) Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu, Tuhan yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa.”
Terakhir daripada saya, saya menyeru, marilah kita menggembleng tenaga, mencari jalan untuk terus tunduk patuh kepada perintah Tuhan, bukannya mencari jalan untuk semakin jauh daripada perintah Tuhan.
Firman Allah dalam Surah at-Talaq ayat 2:
وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا، وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ ۚ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا
"(Terjemahannya) Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya)”
Teks perbahasan: RUU Akta Anti Berita Tidak Benar (Pemansuhan) pada 16 Ogos 2018, Dewan Rakyat. Perbahasan oleh Ahli Parlimen Sik tidak dapat disampaikan kerana ketiadaan ruang waktu dan luang peraturan Dewan Rakyat.
AHMAD TARMIZI SULAIMAN
Ahli Parlimen Sik / Timbalan YDP PAS Kawasan Sik

Hanipa Maidin cipta fitnah tuduh PAS sokong SOSMA dijawab oleh MP PAS



YB Sepang ni selalu menulis artikel-artikel yang berunsur menghina didalam blog dan FB beliau.Cuba tengok perangai YB Sepang, Hanipa Maidin ni...
Boleh dia buat tuduhan palsu, kononnya PAS menyokong SOSMA. Padahal jelas dan terang pada sesi perbahasan yang lepas PAS berbahas bantah akta ini.
YB Pengkalan Chepa bangun jawab fitnah tersebut dan minta Sepang tarik balik dengan mengemukakan peraturan mesyuarat 36 (12) kerana mengelirukan dewan. Tapi jenis degil dan keras hati ni, puas didesak oleh beberapa MP PAS dengan hujah ucapannya itu akan jadi bahan di media dan fitnah terhadap PAS, barulah beliau menarik balik tuduhannya.
Barulah terhegeh-hegeh malu dan meminta maaf diatas cubaan menipu dan memanipulasikan fakta.
Patut Sepang setuju dan bersungguh benar mahu memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018, rupanya memang jenis gemar fitnah.
Mujur MP PAS bertegas minta Sepang mengaku tuduhannya adalah fitnahdan mohon tarik balik, jika tidak, tak tahulah dapat kat Dr Maza dan Dr Rozaimi habislah up status 'Ijtihad PAS Sokong SOSMA'...heh punah!
Itu taraf pemimpin, anak buah? Terlebih lagi lah.

Tuesday, August 7, 2018

IDEA TGHH DILAKSANA OLEH DR SAM.- MB Terengganu

Terlalu banyak idea kenegaraan yang telah dikemukakan oleh Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang kepada rakyat Malaysia. Wajar Tuan Guru diletakkan sebagai seorang Tokoh Pemikir Kenegaraan Islam Moden.
Idea Kerajaan Teknokrat, Kerajaan Berkebajikan, Pembangunan Bandar, Peranan Kerajaan dan Rakyat dalam Ekonomi, Budaya Politik Matang dan Sejahtera serta Demokrasi sebagai alat menegakkan Syariat banyak dibentangkan kepada rakyat Malaysia sehingga kini.
Mengikuti ceramah dan syarahan politik Tuan Guru seolah-olah berada dalam bilik kuliah universiti. Bahkan ianya banyak membuka minda anak muda untuk melihat idea idea yang menarik dan baharu dikemukakan oleh beliau.
Antaranya adalah, “Kerajaan tidak boleh berniaga bersaing dengan rakyat”. Idea ini agak menarik perhatian, idea kenegaraan Tuan Guru mengatakan kerajaan tidak boleh bersaing dengan rakyat. Rakyat mesti diberikan ruang untuk berniaga dan mencari pendapatan. Ini suatu perkara yang agak ‘wow’.
Rupa-rupanya, idea ini diangkat oleh Tuan Guru pada masa kini diambil dari penegasan yang dibuat oleh Ibnu Khaldun (1331-1404) dalam Al-Muqaddimah :
إن التجارة من السلطان مضرة بالرعايا ومفسدة للجباية
“Sesungguhnya kegiatan perniagaan daripada pemerintah (kerajaan) membawa mudarat kepada rakyat jelata dan merosakkan percukaian”
Keadaan ini akan menyebabkan rakyat yang miskin dan tiada modal akan banyak bersaing dengan kerajaan yang mempunyai jentera dan kelengkapan yang serba canggih. Sudah pasti rakyat akan terkepit dicelahan pertarungan tersebut.
Namun, timbul persoalan bagaimana pula kerajaan mahu membuat keuntungan jika tidak membuat syarikat dan berniaga sebagaimana rakyat berniaga. Apakah kerajaan hanya menunggu hasil bumi dan hasil cukai sahaja untuk membangunkan negeri atau negara?
Akhirnya, persoalan ini terjawab apabila melihat Ucap Negeri Terengganu yang disampaikan oleh Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam menghuraikan Prinsip ke-6 Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030). Kerajaan bertindak sebagai pemantau dan tidak bersaing dengan rakyat, kerana rakyat tidak akan mampu bersaing dengan kerajaan.
Sebagai contoh, kerajaan tidak boleh terlibat dalam industri batik kerana ianya akan bertembung dengan perniagaan yang dilakukan oleh rakyat. Sudah pasti kerajaan yang ‘luas langkahnya’ akan meranapkan industri yang dilakukan oleh rakyat.
Apa yang patut dibuat oleh kerajaan adalah menyediakan kemudahan dan pelan untuk membangunkan lagi industri tempatan. Kerajaan juga bertindak sebagai pemantau dan juga supplier latihan dan kemudahan untuk rakyat berniaga.
Setelah itu, peranan kerajaan adalah mengangkat batik, nasi dagang dan industri tempatan ini ke pasaran luar. Bukannya berniaga ditepi jalan Kuala Terengganu, tapi membawa jenama Terengganu melalui industri tempatan ke luar negara dan luar negeri.
Contoh yang diberikan oleh Dr Sam agak menarik, katanya “Nak harapkan Pok Leh dan Mak Jah jual nasi dagang di pasaran London dan Eropah, kita akan mendera mereka (rakyat), jadi, kerajaan negerilah yang berperanan.”
Nah, setelah mendengar penjelasan ini, maka, jelaslah bagaimana idea tersebut berinteraksi dalam bingkai kenegaraan atau kenegerian sebagaimana yang disampaikan oleh Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang.
Rupanya secara tidak langsung menggambarkan bahawa, Dr Sam ini diangkat sebagai Menteri Besar Terengganu sepertinya untuk melaksanakan pemikiran dan idea besar yang digagaskan oleh Tuan Guru.