Search This Blog

Thursday, September 27, 2018

Analisis: Mahathir 'sailang' Anwar ?


IMPIAN Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri menggantikan Tun Dr Mahathir Mohammad mungkin tidak akan kesampaian, walaupun Langkah PD telah disusun.
Tidak mustahil, walaupun Parlimen Port Dickson (PD) dirasakan selamat buat Anwar dan PKR, namun Parlimen PD juga boleh menjadi penamat jalan kepada team Anwar dalam memastikan Presiden PKR itu tidak ke Dewan Rakyat, seterusnya diangkat sebagai PM.
Ingat, dendam Mahathir terhadap Anwar bukan mudah untuk dipadam begitu sahaja dengan kerjasama di bawah Pakatan Harapan (PH). Mahathir tidak pernah senang dengan kehadiran Anwar dalam kerjasama PH.
Apatah lagi adegan lompat melompat MP Umno telah pun bermula, dimulakan anak didik Tun Daim Zainuddin iaitu Dato’ Seri Mustapa Mohamed selaku MP Jeli, dikuti Dato’ Seri Anifah Aman sejurus selepas Tok Pa membuka jalan.
Dijangkakan ada antara 16 orang lagi akan menyeberang, maka dapat dilihat andai kemasukan MP Umno ini sebagai satu usaha mengukuh kedudukan Bersatu dalam PH, dan usaha menghalang cita-cita Anwar.
Umum mengetahui dendam kesumat Mahathir ke atas Anwar, namun ramai pimpinan Umno yang pro Mahathir tahu kenapa Mahathir cukup berdendam dengan Anwar khasnya dalam episod pemecatan tahun 1998 yang akhirnya menghadiahkan adegan usung tilam, pemenjaraan Anwar dan berlakunya reformasi oleh pemimpin muda yang pro-Anwar.
Ketika itu, hayat politik Anwar diselamatkan PAS di bawah pimpinan Almarhum Dato’ Fadzil Mohd Noor, walau pada awalnya ditentang hebat oleh Mohamad Sabu yang kerap menggelarkan Anwar dengan gelaran sangat sinikal.
Kes Sodomi 1 dan kemudian Sodomi 2, umum tahu penglibatan Mahathir dalam mempastikan Anwar terpenjara, dan bagaimana Peguam Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah dijadikan ayam tambatan bagi mengendali kes itu atas nasihat Mahathir agar Anwar disumbat semula ke tirai besi.
Apapun berlaku sama ada benar atau salah (Anwar), yang pasti umum tahu pembabitan secara terselindung Mahathir, dan kemudiannya Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak yang menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi mendapat sokongan Mahathir, walau kemudiannya Mahathir mula menyerang Najib angkara mencantas hayat politik anaknya, Dato’ Seri Mukhriz.
Dendam kesumat ini tak terhenti setakat adegan Sodomi 2 melibatkan Saiful Bukhari Azlan, dan peguam yang menjadi pendakwaraya ketika itu adalah Shafee. Anwar tersumbat ke penjara selepas bicara kes Sodomi 2.

Dalam percubaan berikutnya adegan filem berdurasi 20 minit China Doll, Anwar sekali lagi diaibkan dan se-Malaya adegan selingkuh ini yang kemudian menjadi viral.
Keresahan Mahathir berdepan Anwar dapat dilihat apatah lagi sebaik Mahathir menguasai kerajaan, dia menafikan pula soal perjanjian dua tahun selaku PM.
Bingkas dengan telahan awal Mahathir itu, Anwar dan kumpulan pro-nya dalam PKR kini sedang berusaha memastikan calon MP PD itu jadi PM.
Antara yang kuat membedal Mahathir ketika ini termasuk ayam tambatan Anwar, Rafizi Ramli dan Abdullah Sani, tidak kurang Fuziah Salleh.
Di pihak pro Mahathir dalam PKR yang diketuai Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamarudin kini sedang giat mempertahan Azmin yang diketahui anak kesayangan Mahathir yang berperanan di sisi Anwar sejak dahulu lagi.
Dalam perang antara Mahathir dan Anwar, Azmin dan Rafizi masing-masing sedang menghunus propaganda antara satu sama lain, menjadikan PKR semakin berpecah.
Maka Anwar perlu sahaja beringat bahawa yang menjadi PM hari ini adalah Mahathir, insan yang menyumbatnya ke penjara dalam Sodomi 1 dan terkait dalam Sodomi 2, tidak mustahil kerusi anganan Anwar di PD boleh terlepas dengan permainan Mahathir yang kini menguasai sepenuhnya kerajaan.
Dendam dan kesumat Mahathir tidak boleh diselindung, sinikalnya dalam banyak hal terhadap Anwar tidak boleh dinafikan, malah kini pelbagai rancangan sedang hangat dijalankan olehnya termasuk adegan lompat melompat MP Umno yang sedang berjalan.
Seperkara lagi, ketika hangat isu ini berjalan, peguam tersohor, Muhammad Shafee tiba-tiba ditahan pula kerana tuduhan terlibat skandal pengubahan wang haram.
Muhammad Shafee dalam responsnya tidak menjangkakan bahawa dirinya akan didakwa di Mahkamah Sesyen atas empat pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah RM9.5 juta, lima tahun lalu.
Beliau berkata, kesemua transaksi RM9.5 juta itu mempunyai resit yang dikeluarkan oleh firmanya terhadap bekas Perdana Menteri, Najib Razak sebagai yuran guaman.
“Saya langsung tidak menjangkakan pertuduhan terhadap saya, ini kerana saya hanya terima bayaran bagi khidmat guaman yang telah diberikan,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Kompleks Mahkamah, Jalan Duta, baru-baru ini selepas selesai membayar wang ikat jamin sebanyak RM500,000.
Tambahnya, sebagai peguam adalah tidak wajar untuknya mempersoalkan daripada mana sumber kewangan yang dibayar oleh Najib itu diperoleh.
“Takkan saya nak tanya perdana menteri (Najib) daripada mana sumber wang berkenaan,” katanya.
Muhammad Shafee turut menyifatkan bahawa tuduhan yang dikemukakan kepadanya itu adalah bermotifkan politik malahan tidak berasas serta karut.
Membaca kenyataan Shafie, pastinya pemerhati politik dapat menangkap makna sebenar babak politik ketika ini, dan apakah sekali lagi Mahathir memasang jerat untuk menghalang Anwar? Umum tahu jasa Shafee dalam pengendalian Sodomi 2, apatah lagi kelibat Tan Sri Gani Patail pula seolah-olah kurang berkesan dalam babak-babak sebegini.
Anwar sebenarnya meniti jalan sukar, dalaman parti sendiri sudah mula berpecah belah, yang jelas berpaling tadah sudah mula kelihatan, yang setia pun silap-silap bila berdepan "jawatan dan pangkat, laba kemenangan" bisa tersungkur.
Melihat situasi ini, Anwar barangkali tidak mudah ke posisi nombor satu, kecuali adanya usaha membina koalisi lain bukan bersama kumpulan yang dilihat bertentangan aspirasinya.
Adegan semakin menarik, menjelang penamaan calon PRK Parlimen PD, apa sahaja boleh berlaku, sama ada episod malang 98 boleh berulang ke atas Anwar, atau kes lain pula akan dihadapkan ke atasnya.
Apa yang jelas, persefahaman longgar PH membentuk kerajaan pusat dalam PRU14 lalu memungkinkan pelbagai situasi. Langkah PD mungkin tidak sama seperti Langkah Kajang, kerana bila-bila masa sahaja Mahathir boleh memasang perangkap menghalang laluan itu. – HARAKAHDAILY 27/9/2018

Saya jumpa Dr Mahathir dua kali - Ahmad Zahid


KUALA LUMPUR: Selepas sekian lama membisu dan berdiam diri, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akhirnya mengakui yang beliau menemui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebanyak dua kali selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
Pengakuan itu sekali gus menafikan dakwaan yang tular di media sosial mengatakan Ahmad Zahid sudah tujuh kali mengadakan pertemuan ‘empat mata’ bersama Dr Mahathir.
Bagaimanapun, Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menegaskan tidak pernah bertemu atau dipelawa atau dihubungi untuk ditemukan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas bakal Presiden PKR itu dibebaskan dari penjara.
“Saya ingat malaikat saja yang tahu sama ada saya jumpa dua kali atau tujuh kali. Tapi setahu saya baru dua kali. Saya tidak tahu kalau ada malaikat atau iblis yang sentiasa ikut saya. Saya pun tidak tahu angka itu (tujuh) datang dari mana.
“Tapi saya tidak pernah bertemu atau berhubung dengan Anwar selepas 9 Mei lalu. Anwar pun takut bertemu sebab saya sekarang pembangkang,” katanya dalam temubual khas bersama NSTP menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2018 di pejabatnya di Menara Dato Onn, hari ini.
Kali pertama Ahmad Zahid menemui Dr Mahathir ialah pada 7 Jun lalu iaitu pada Ramadan dan kali kedua, baru-baru ini bersama pemimpin tertinggi UMNO.
Anwar yang dijatuhi hukuman penjara lima tahun pada 2014 oleh Mahkamah Rayuan, dibebaskan dari penjara dan mendapat pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada 16 Mei lalu.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, pertemuan itu diadakan susulan desakan yang beliau terima daripada akar umbi yang mahu UMNO melakukan sesuatu dan perubahan termasuk hendak menunjukkan UMNO adalah parti yang sedang menunggu menjadi kerajaan.
Bagaimanapun, beliau terpaksa ‘membisu’ dan merahsiakan pertemuan itu atas prinsip menyimpan rahsia dan strategi parti.
“UMNO bebas untuk berbincang dengan sesiapa saja sama ada dengan mereka yang belum pernah bersama Barisan Nasional (BN), yang dulu bersama BN dan kini tidak lagi bersama BN.
“Namun setakat ini belum ada keputusan sama ada hendak mengadakan kerjasama dalam jangka pendek atau jangka panjang. Kita harus melihat kepada perkiraan politik kerana kita tidak mahu menjadi pembangkang.
“Segala peluang politik perlu dinilai. Politik ini sifatnya dinamik. Peluang sentiasa terbuka, pintu sentiasa boleh dimasuki. Ini politik, maka tidak ada yang mustahil,” katanya.
Beliau juga mengakui tahu mengenai gerakan untuk menarik Ahli Parlimen UMNO keluar daripada parti itu dan menyertai parti kecil dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Saya tidak tahu ada gerakan bawa 16 Ahli Parlimen UMNO keluar parti tapi saya tahu ada ‘mediator’ (orang tengah) jumpa mereka dan berjanji akan bawa sejumlah tertentu Ahli Parlimen untuk lompat menjadi Bebas kemudian terjun ke dalam ‘tong politik’,” katanya.-BH

PRK PD: PPBM cuba Gugat Anwar dengan bubarkan PPBM Negeri Sembilan


SEHINGGA sekarang tidak ramai pemimpin yang sanggup bubar parti sendiri. Namun ia bukan perkara pelik kerana pernah ada dalam catatan sejarah.
Kesemuanya boleh dikatakan membabitkan pemimpin Umno. Apa alasan mereka sanggup bertindak begitu. Kata Tan Sri Muhyiddin Yassin – ada pelbagai isu.
"Kita berhadapan banyak masalah, ada yang buat laporan polis, buat sidang media... saya tak nak ulas panjang," katanya seperti dilapor web berita.
Apa pula kisahnya tiba-tiba Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia bertindak sedemikian. Hari ini beliau dilapor mengumumkan Bersatu Negeri Sembilan dibubarkan. Alasannya kerana dilimpahi banyak masalah. (Foto atas: Pemimpin Bersatu Negeri Sembilan.)
"Kita guna pakai keputusan bubar Bersatu yang telah tertubuh awal untuk Negeri Sembilan kerana kita ada banyak masalah,” ujarnya.
Kata Menteri Dalam Negeri itu, Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) nasihatkan bubar dan lantik semula pimpinan di peringkat negeri.
Nampaknya era Malaysia Baharu perkara yang jarang berlaku sebelum ini pun muncul sekarang.
Sebelum ini seorang lagi pemimpin Umno juga pernah bubar parti sendiri. Ditubuhnya parti baru itu kerana gagal mengalahkan seorang lagi pemimpin Umno.
Pada 1987 berlaku perebutan jawatan Presiden Umno antara Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah. Namun Ku Li tewas hanya kekurangan 43 undi.
Regunya juga rebah. Dato’ Musa Hitam juga tewas di tangan Ghaffar Baba bagi jawatan Timbalan Presiden. Babak pertelingkahan antara kedua-dua ‘team’ itu berakhir setelah Umno diharamkan Mahkamah Tinggi.
Hakim Dato’ Harun Hashim memutuskan Umno dibubar kerana muncul ahli yang tidak sah. Perwakilan berkenaan dibiarkan mengundi pada mesyuarat perwakilan Umno.
Berikutan pengharaman itu Ku Li cuba menghidupkan Umno lama 1946. Namun gagal. Bagaimanapun Ku Li tidak putus asa, sebaliknya beliau mendaftar pula nama Parti Melayu Semangat 46.
Manakala Dr Mahathir pula menubuh Umno Baru. Dr Mahathir masih mengatasi rekod Ku Li keupayaan menubuh banyak parti baharu.
Selepas berjaya menghidupkan Umno Baru pada 1987 tiba-tiba pada 9 Mei lepas Dr Mahathir cuba mematikan parti itu sekali lagi.
Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu cuba mematikan Umno Baru dengan melahirkan Bersatu pada 8 September 2016. Mungkin tindakan Dr Mahathir lebih bermaruah berbanding Ku Li.
Berdasar retetan itu bermakna Dr Mahathir kali kedua menubuh parti baharu. Berbeza dengan Semangat 46 dimatikan Ku Li pada Mei 1996 selepas menyerah diri secara ‘en bloc’ kepada Umno.
Dr Mahathir lebih pintar kerana tidak mematikan Umno tanpa batu nisan. Sebaliknya beliau menubuh Bersatu bagi menyaingi Umno. Akhirnya parti Melayu itu tersungkur pada Pilihan Raya Umum (PRU) 14.
Bagaimanapun ketika baru menjejaki usia dua tahun, Bersatu Negeri Sembilan tiba-tiba dibubar. Alasan Muhyiddin kerana Bersatu negeri bernombor itu bermasalah.
Episod Bersatu gugat Anwar
Episod itu berlaku ketika Dato’ Seri Anwar Ibrahim sedang mendaki tangga untuk menduduki kerusi Perdana Menteri.
Biar pun diberi alasan Bersatu Negeri Sembilan ada penyakit, namun Muhyiddin ada pertimbangan lain. Beliau sebenarnya mahu menobatkan Tan Sri Dr Rais Yatim mengetuai Bersatu Negeri Sembilan.
Gambaran yang berlaku itu boleh diconggak Bersatu seperti tidak restui langkah Anwar.
Muhyiddin memulakan episod menyingkirkan orang lama bagi menghangat lagi ragam Malaysia Baharu. Strategi mengejutkan itu dicetus ketika adegan pukul memukul dan membaling kerusi memeriahkan pemilihan PKR.
Apakah ia benar-benar isyarat awal kepada Anwar. Tidak mudah untuknya menggantikan Dr Mahathir, biar pun tempoh dua tahun selepas PRU14 semakin hampir.
Lebih-lebih lagi timbul keraguan seseorang itu boleh bertanding mana-mana pilihan raya selepas 5 tahun pengampunan diberi. -HARAKAHDAILY 27/9/2018

Sunday, September 9, 2018

Cakap Tidak Serupa Bikin

1) Hutang Negara RM 1 Trilion
Sebelum PRU, canang dalam kempen pelbagai janji manis lagi indah untuk memancing undi.
Namun, hakikatnya apabila dah berkuasa janji manifesto PH banyak yang tidak dilaksana atas alasan masalah bebanan hutang negara.
Anehnya, membazirkan duit rakyat untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan diadakan secara sengaja nanti boleh pula dibuat hanya semata untuk menunaikan impian calon PM ke 8.
Suami, isteri, anak semuanya mahu diangkut masuk ke dalam Parlimen.

2) Antara Kuasa dan Agama
Sebelum PRU, canang dalam kempen pentingnya dapatkan kuasa untuk laksanakan Islam.
Namun, apabila dah berkuasa lain pula jadinya.
Bukan sahaja memberi 10001 alasan untuk pinda Akta 355 bahkan, had 6 sebatan yang sudah sedia ada sekian lama pun dipertikai dan diperlekeh.
Atas nama Maqasid Syariah, Islam Ramah Tamah, mereka sendiri gagal mempertahankan hak majoriti ummat Islam.
Tidak pula mereka digelar sebagai penunggang agama.

3) Rule of Law
Sebelum PRU, canang dalam kempen mereka adalah pejuang demokrasi tulen yang sejati lagi benar.
Namun, hakikatnya apabila dah berkuasa mereka sendiri langgar prinsip asas demokrasi.
Doktrin separation of power, iaitu pemisahan kuasa antara cabang Eksekutif, Legislatif dan Judisiari dilanggar dengan sewenangnya.
Peguam Negara lantikan PH meminda, menarik balik pertuduhan bahkan menyucikan pemimpin PH daripada terus dibicarakan di Mahkamah.

4) Prinsip Federalisme
Mahkamah Syariah, Enakmen Agama Islam merupakan bidang kuasa Kerajaan Negeri sepertimana termaktub dalam Senarai ii Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
Jadi, atas prinsip apa Kabinet Kerajaan PH masuk campur urusan negeri Terengganu dan menghina keputusan Mahkamah Syariah.?
Jelas, double standard diamalkan oleh Kerajaan PH kerana tidak pula mereka bising berkenaan hukuman sebatan sivil yang jauh beratus kali ganda kejam, zalim, mencederakan, menyeksakan lagi tidak berperikemanusiaan.
Tidak adakah pihak yang berada dalam Kerajaan PH berani bersuara menegur semua kesilapan ini.?

Tuesday, September 4, 2018

PKR Perak bergolak antara Team Rafizi Vs Team Azmin



Saya dimaklumkan oleh abang saya sendiri ucapan rafizi di perak yang terus menyerang saya dalam isu penubuhan PH dan Amanah 3 tahun yang lalu. Benar saya tidak bersetuju ada awalnya amanah ditubuhkan kerana saya ada pandangan yang berlainan. Maka tersebarlah 3 tahun yang lalu petisyen yang dihantar kepada presiden menjadi viral oleh mereka-mereka yang memang mahu melihat kepimpinan parti berpecah.

Tapi ada dua perkara yang semua tidak tahu dan ia berlaku.hari apabila petisyen itu viral saya bertemu presiden di teluk batik perak,bertemu dan mendengar pandangan dan akhirnya presiden tahu mengapa kami berbeza pendapat.kemudian sehari selepas kecoh isu 25 saya menerima panggilan dari abang mat sabu maka saya,suami dan seorang kawan bertemu abang mat sabu di victoria 🚉 berdekatan amcorp mall pj.kami berlima bertemu dan abang mat tidak langsung mempersoalkan khabar angin yang beliau dengar tetapi beliau ambil sikap sebagai seorang pemimpin bertanya dan mendengar. Saya katakan bahawa saya lebih suka jika pemimpin yang ada ini(yang keluar dr pas)  bersama dengan kami dalam keadilan dan ia akan menjadikan kita sebagai pembangkang yang kuat. Abang mat faham dan beliau terangkan mengapa amanah itu perlu dan saya akur. Sempat juga abang mat ajak saya menyertai amanah tapi saya katakan abang "dimana saya lahir, biarlah disitu saya dikebumikan".kami akhiri pertemuan itu dengan makan steak lazat yang dibelanja oleh abang mat.ia jadi isu jawapannya tidak sebab sikap pemimpin yang bertanya bukan menghukum semata-mata.

Maka 1/9/2018 rafizi dan kawan2 datang ke perak berkempen untuk pemilihan. Saya menjadi salah satu tajuk ucapan yang mana beliau mainkan isu 25 dan beliau sebut sekrang saya telah berjawatan sebagai penasihat menteri besar perak bertaraf exco di perak dengan sindiran bahawa sayalah yang dulu menentang amanah dan ph. Inilah yang dikatakan bila hati ada dendam dan tidak senang fitnah itu sudah biasa dititipkan, kepada saudara rafizi seantero malaysia tahu saya tidak kejawatan itu dan bukankah itu juga ada campur tangan dari beberapa pimpinan diatas? (saya kunci cerita ini dulu)

Diakhirnya inilah watak rafizi yang semua dalm keadilan tahu, jika kita tidak sekepala dengan dia akan hadirlah mesej-mesej berbau ugutan dan ungkitan.nak bertemu,mendengar penjelasan langsung tidak kerana bagi dia2 lebih benar dan inilah yang menjadi prinsip beberapa pimpinan dalam kelompok rafizi.

Kalau nak berkata biar yang benar rafizi,mengapa bila saya bersetuju dengan DSAi hasil dari panggilan yang beliau sendiri buat dari pejabat dsai untuk saya tidak menandatangani petisyen menyokong DSAzmin sebagai Mb selangor itu tidak disebut.ketika itu DSAzmin berkecil hati dengan tindakan saya namun beliau tidak pernah menghukum saya sebagaimana dilakukan oleh rafizi sekrang.DSAzmin faham dan beliau raikan perbezaan pendapat,walaupun beliau terasa namun beliau menghormati pandangan setiap dari pemimpin yang ada.

Ya rafizi saya tidak sehebat kamu,tapi rakan-rakan PH tahu sejauh mana saya membantu mereka dalam PH.pemimpin kanan DAP sendiri ucap terima kasih kerana ucapan sya yang banyak membantu dap dari persepsi orang melayu,dun yang ditandingi amanah dari seluruh negara saya turun dan bantu.mungkin betul jasa saya hanya kecil berbanding saudara tapi kematangan politik saya jauh melangkaui saudara.

Selamat memilih keadilan, pilihlah pemimpin yang menjadi pemimpin dan bukan tuan yang sentiasa menghukum.

YB Siti Aishah Sheikh Ismail