Search This Blog

Saturday, June 30, 2018

Cadangan Bodoh Pemimpin PAN agar beku akaun PAS: Ke arah negara satu parti

CADANGAN pemimpin Pakatan Harapan (PH) untuk membekukan akaun bank PAS adalah satu langkah awal ke arah mewujudkan negara satu parti (one party state). Negara-negara komunis telah mengamalkan sistem ini di mana hanya satu parti iaitu parti komunis dibenarkan wujud. Sebelum ini akaun bank Umno telah dibekukan kerana dikatakan mempunyai hubungan dengan kes 1MDB.
Pada pilihan raya umum yang lepas, undi yang diperolehi PH adalah kurang dari 50 peratus. Sementara satu kajian menunjukkan tidak sampai 30 peratus pengundi Melayu mengundi PH. Undi majoriti orang Melayu dikongsi bersama oleh PAS dan Umno.
Oleh itu kedudukan sokongan kepada PH adalah tidak kukuh. Mereka yang mengundi PH terutamanya ahli-ahli Umno boleh pada bila-bila masa meninggalkan PH.
Satu jalan keluar bagi PH adalah untuk memastikan Umno dan PAS tidak wujud lagi dengan membatalkan pendaftaran parti-parti tersebut. Langkah pertama adalah dengan membekukan akaun bank mereka. Langkah seterusnya mungkin dengan merampas aset dan akhir sekali membatalkan pendaftaran.
Kerajaan PH perlu melakukannya untuk mengukuhkan kedudukan mereka. Selain dari itu kegagalan mereka menunaikan janji-janji pilihan raya bermakna perhatian rakyat perlu dialihkan. Rampasan wang tunai dan barangan berharga yang cuba dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah menjadi berita utama di dalam usaha untuk menutup kegagalan menurunkan harga minyak, kegagalan menghapuskan tol, kegagalan menurunkan kos sara hidup dan kegagalan-kegagalan yang lain.
Walau bagaimanapun yang patut membimbangkan rakyat adalah sebarang usaha untuk membunuh demokrasi. Sebelum ini seorang menteri pernah mencabar ahli-ahli akademik yang tidak sehaluan dengan kerajaan PH meletakkan jawatan. Jika rakyat tidak membantah usaha-usaha ini negara, kita akan melihat Malaysia tanpa parti pembangkang atau parti-parti pembangkang yang telah "dimandulkan". Ini tidak baik untuk rakyat kerana tidak akan berlaku check and balance atau semak dan imbang.
Dato' Iskandar A. Samad
Naib Presiden PAS

PH bohong Rakyat dalam senyap, Kenaikan tarif elektrik bermula 1 Julai 2018


RAKYAT akan dibebankan dengan kenaikan kos sara hidup bermula 1 Julai ini dengan kenaikan tarif elektrik kepada pengguna komersial. Perlu difahami bahawa, walaupun kenaikan ini hanya melibatkan pengguna komersial, tetapi kesan kepada kenaikan kos sara hidup akan tetap dirasai oleh rakyat biasa dari semua peringkat.
Pendapat ini disokong oleh Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman. Beliau berkata walaupun peningkatan tarif elektrik berkenaan hanya membabitkan sektor komersial, timbul kebimbangan pengilang dan peniaga meletakkan kos berkenaan kepada pengguna. Ini disebabkan segelintir pihak yang sentiasa mengambil peluang dengan menaikkan harga barangan jualan masing-masing apabila berlakunya peningkatan kadar caj bahan api, elektrik dan air.
Tarif elektrik di Semenanjung Malaysia ditetapkan menerusi sistem kawal selia berasaskan insentif (IBR) yang merangkumi mekanisme Pelepasan Kos Ketidakseimbangan (ICPT) dilaksanakan pada Januari 2014.
ICPT membolehkan kerajaan menyemak semula kadar tarif setiap 6 bulan berdasarkan perubahan harga bahan api dan penjanaan. Bagi kenaikan kali ini, ia adalah disebabkan oleh kenaikan harga arang batu yang digunakan untuk penjanaan elektrik. Menurut maklumat daripada Suruhanjaya Tenaga (ST), badan yang mengawal selia tarif elektrik, bagi Januari hingga Jun 2018, harga arang batu meningkat kepada USD 91.66 / setan metrik berbanding harga diunjurkan dalam tarif asas, iaitu USD 75 / setan metrik. Ini merupakan faktor utama menyebabkan kos penjanaan sebenar meningkat sebanyak RM 698.19 juta bersamaan 1.35 sen / kWj. Kos ini seterusnya akan ditanggung oleh pengguna, yakni rakyat Malaysia.
Tidak ada bezanya antara apa yang dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekarang dengan apa yang Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini lakukan dari segi menjaga kebajikan rakyat. Kedua-dua kerajaan ini hanya mementingkan sektor korporat dan mengenepikan soal kesusahan hidup rakyat. Kenaikan kos elektrik ini adalah antara kenaikan kos sara hidup yang terpaksa ditanggung rakyat selepas kerajaan baru ini berkuasa. Sama sahaja seperti apabila Kerajaan BN menang pada PRU ke-13, rakyat terus dibebani dengan pelbagai kenaikan kos barangan asas dan diperkenalkan GST.
Walaupun GST kini dihapuskan, menjelang September nanti, cukai SST akan diperkenalkan semula. Dengan tarif SST sebanyak 10 peratus, ini sudah tentu akan semakin membebankan rakyat.
Sebab itulah cadangan daripada PAS dan Gagasan Sejahtera dalam PRU yang lepas adalah berkenaan perubahan dasar dan polisi. Dasar pemerintahan berkebajikan untuk memberi kesejahteraan untuk rakyat.
Semoga tempoh masa menjelang PRU ke-15 nanti, rakyat akan memberikan peluang kepada PAS untuk menerangkan konsep dan dasar ini secara lebih meluas dan dibincangkan secara profesional. Pada masa yang sama, PAS membuka seluas-luasnya ruang untuk perbincangan dengan kerajaan sekarang bagi meneliti cadangan PAS dalam Wawasan Induk Negera Sejahtera 2051 (WINS2051) dan perincian pelaksanaan di dalam Dokumen Hijau.
Apa yang penting, rakyat akan mendapat hasil daripada cadangan dan dasar yang diutarakan oleh PAS ini apabila ia dilaksanakan oleh kerajaan. Sekarang adalah masa untuk berkhidmat untuk rakyat dan PAS bersedia untuk bersama-sama membantu memajukan negara.
IR KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN 
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Tarik Elektrik Naik : Alasan Mahacai PH sama macam BN



Mungkin PH jawab ini bil industri bukan letrik di rumah. Ia tidak terjejas rakyat . Sedangkan Bila tarif letrik meningkat di kilang maka harga barang akan meningkat. Kesan akhir pd pengguna.
Sama seperti BN jawab ketika harga minyak naik. Tdk mengapa ia tidak beban orang kampung, sebab org kg, pakai motor. org kaya yg bekereta yang terkesan. Untung minyak, kerajaan akan bagi BRIM pd org susah. Jadi org miskin tdk terkesan dgn kenaikan harga minyak.
Jangan pula ada yang menjawab, tarif ini perjanjian kerajaan BN. Jadi kita teruskan saja. Saya harap jangan jawab seperti itu.
Rakyat sedang menunggu harga barang turun, tol dihapuskan,PTPTN dihapuskan, minyak diturunkan, gas diturunkan. Yang turun tomato dan hujan.
Nampaknya PH dan BN ini salin kulit ja, isinya sama.

Jangan lupa tolong siasat akaun parti PH - Ust Idris Ahmad


“Isnin ini bank sudah buka, boleh arahkan pihak berwajib lihat duit PAS dalam bank,” ujar Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad.
Bagaimanapun, kata beliau ianya hendaklah mengikut prosedur.
“Tapi ikut prosedurlah, bukan main hentam kromo dan guna media.
“Main-main arah dan tuduh supaya akaun PAS dibeku kerana terlibat dalam penggubahan wang haram,” katanya menerusi laman sosial Facebook.
Justeru, beliau mempersoalkan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sama ada hendak mengikut cara demokrasi atau majlis revolusi.
Ini, katanya kerana itu dikira main langgar sahaja untuk membuat tuduhan dan fitnah.
Sekarang, ujarnya lagi PH sudah ada kuasa dan mereka boleh mengambil sahaja tindakan.
“Mungkin PH tidak perasan dia sudah memerintah. Jangan lupa juga tolong siasat akaun parti PH sama,” tambahnya.
Sehubungan itu, katanya PH jangan pula ibarat ‘kata dulang paku serpih, tuduh orang dia yang lebih’. 

Pencapaian 50 Hari Pentadbiran Pas Negeri Terengganu



Pencapaian 50 Hari PAS Terengganu Tunai Janji
Dilaksana
1) Janji 1 : Mengembalikan Tanah Dirampas Kerajaan BN
2 ) Janji 2 : Lot Tapak Rumah/1 Unit Kediaman (Pasangan Berkahwin)
3 ) Janji 5 : Karnival Kahwin Percuma
4 ) Janji 8 : Air percuma 20 Meterpadu untuk golongan miskin
5 ) Janji 17 : Menghapuskan cukai pintu kediaman
Ke Arah Melaksana
6 ) Janji 4 : Pemberian RM300 untuk lesen motosikal yang layak
7 ) Janji 7 : Wujud semula IPT Islam negeri megantikan KUSZA
8 ) Janji12 : Kad sejahtera RM500 setahun
Ini 8 daripada 20 janji PAS Terengganu semasa PRU14 lepas.

Namun ada beberapa perkara di atas yang masih lagi hadapi masalah teknikal. Tetapi InshaAllah akan dapat diselesaikan dalam masa yang terdekat. Segala Usaha ini sedang di gembelingkan melalui semua peringkat samada melibatkan agensi kerajaan, NGO & ketua2 masyarakat.

#TerengganuMajuBerkatSejahtera

Friday, June 29, 2018

DAP PERAK BUAT LAPORAN POLIS KEATAS MAHATHIR BERHUBUNG WANG TUNAI RM1.194 TRILLION MILIKNYA DILUAR NEGARA



Dengan pendedahan oleh Abdul Hamid mengenai sebab utama serangan Tun M terhadap Najib Razak adalah kerana tindakan Perdana Menteri menghentikan transaksi dana bernilai RM 1.194 Trilion untuk masuk ke Malaysia oleh bekas pendana menteri tersebut, adakah Tun M secara tidak rasminya adalah individu terkaya di dunia?

Abdul Hamid, seorang bekas pengikut Tun M mendedahkan bahawa sebab utama mantan perdana menteri tersebut melancarkan serangan terhadap Datuk Sri Najib adalah kerana kegagalan Tun M melakukan transaksi dana bernilai RM 1.193 Trilion masuk ke Malaysia. Abdul Hamid juga menambah bahawa Najib yang memegang jawatan Menteri Kewangan ketika itu bertindak untuk tidak menandatangani transaksi dana tersebut.

Pendedahan ini jika dibuktikan adalah benar, bukan sahaja mengejutkan tetapi juga akan memecahkan tiga rekod dunia!
Pertama, dengan nilai sebanyak RM 1.194 Trilion (USD 279 bilion), meletakkan Tun M sebagai individu terkaya di dunia di mana kekayaan beliau bernilai 3.5 kali ganda dari kekayaan Bill Gates iaitu individu terkaya di dunia menurut senarai Forbes tahun 2015. Bill Gates mempunyai kekayaan sebanyak USD 79.2 bilion.

Kedua, dengan dana bernilai RM 1.194 Trilion yang dimiliki, Tun M menjadi satu-satunya bekas pemimpin di dunia yang jumlah kekayaannya bersamaan dengan 4.47 kali ganda dari nilai bajet nasional negara. Jumlah pembelanjaan dalam bajet 2016 Malaysia ialah RM 267 Bilion.

Ketiga, mantan perdana menteri tersebut juga akan menjadi satu-satunya bekas pemimpin dunia yang berupaya melangsaikan keseluruhan hutang luar negara bagi negara Malaysia. Sehingga kini, hutang luar negara bagi Malaysia berjumlah RM 740.7 Bilion.

Tun M perlu menjelaskan bagaimana beliau mampu meraih kekayaan sehingga 3.5 kali ganda dari kekayaan Bill Gates, 4.47 kali ganda dari jumlah bajet negara dan 1.6 kali ganda dari jumlah hutang luar negara bagi Malaysia. Beliau juga perlu menjelaskan sumber pendapatan beliau dan juga nilai cukai yang perlu dibayar dengan jumlah nilai kekayaan yang sedemikian. DAP Perak telah pun menfailkan laporan polis terhadap Tun Mahathir berkenaan pendedahan yang dilakukan oleh Abdul Hamid. Saya juga menyeru agar pihak MACC melakukan siasatan terhadap dana bernilai RM 1.194 Trilion yang dilakukan oleh Tun M dan seterusnya mengambil tindakan jika ianya terbukti benar.

Kenyataan dibuat oleh Setiausaha Politik bagi Pengerusi DAP Perak dan Ketua Biro Pembangunan Ekonomi DAP Perak, Chong Zhemin pada 8 Disember 2015

SETPOL NGA KOR MING BUAT LAPORAN SKMM DAN TUDUH TUN MAHATHIR MILIKI KEKAYAAN RM1.194 TRILION ?


"Bekas rakan Tun Mahathir, Abdul Hamid mendakwa, antara alasan yang menyebabkan Mahathir menyerang Najib adalah kerana Mahathir gagal memindahkan wang berjumlah RM1.194 trilion ke Malaysia. Abdul Hamid juga mendakwa, Najib sebagai Menteri Kewangan enggan menandatangani dokumen yang membolehkan dana tersebut dibawa masuk.
    "Seandainya pendedahan tersebut adalah benar, ianya amat memeranjatkan dan telah        memecahkan tiga rekod dunia.
"Pertama, dengan RM1.194 trilion (USD279 bilion), akan menjadikan Mahathir sebagai orang terkaya di dunia, di mana nilai kekayaan bersihnya akan menjadi lebih 3.5 kali ganda lebih tinggi daripada orang terkaya di dunia menurut Forbes 2015 yang hanya memiliki USD79.2 bilion. 
"Kedua, dengan RM1.194 trilion dana yang dimiliki oleh Mahathir, akan menjadikan dia satu-satunya bekas Perdana Menteri di dunia yang mempunyai kekayaan terkumpulan bersamaan dengan 4.47 kali ganda berbanding belanjawan negara. Jumlah perbelanjaan Malaysia sebagai dinyatakan di dalam belanjawan 2016 adalah RM267 bilion. 
"Ketiga, Mahathir juga merupakan satu-satunya bekas Perdana Menteri di dunia yang mempunyai kekyaan luar biasa yang boleh membayar keseluruhan hutang luar negara. Hutang luar negara sekarang ini adalah berjumlah RM740.7 bilion. 
"Mahathir perlu menjelaskan bagaimana dia memperolehi kekayaan luar biasa itu yang merupakan 3.5 kali ganda berbanding kekayaan bersih Bill Gates, 4.47 kali ganda berbanding belanjawan negara dan 1.6 kali ganda berbanding hutang luar negara. Dia perlu menjelaskan dari mana sumber kewangannya dan juga jumlah cukai yang telah dibayarnya daripada kekayaan luar biasa itu.
"DAP Perak hari ini telah membuat laporan di SKMM Ipoh ke atas Tun Mahathir berdasarkan dakwaan oleh Abdul Hamid. Saya menggesa, SKMM untuk melakukan siasatan sekiranya RM1.194 trilion dana yang dimiliki oleh Mahathir adalah secara haram dan mengambil tindakan segera sekiranya terdapat sebarang salah laku."

PAS tidak gentar sekiranya ada pihak yang mahu menyiasat akaun Parti & Akaun PAS tidak dibeku.


Pembekuan 900 akaun, termasuk UMNO dan parti lain yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berikutan mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tidak membabitkan PAS.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata sehingga kini, akaun PAS tidak dibekukan, namun pihaknya ada membaca laporan daripada Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) yang meminta SPRM turut membekukan akaun PAS.
"PAS tidak gentar sekiranya ada pihak yang mahu menyiasat akaun parti. Kita tiada masalah kerana setiap tahun penyata akaun parti dihantar kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) selain dibentang setiap kali mesyuarat PAS berlangsung.
"Tiada apa yang perlu dibimbangkan dan bagi PAS, bukan akaun milik UMNO sahaja perlu disiasat berkait 1MDB, sebaliknya semua parti, bagi mengetahui sumber wang diperoleh.
"Kita dalam PAS, akaun parti bukan rahsia kerana sering dibentangkan berkaitan urusan pengaliran keluar masuk wang," katanya kepada NSTP, hari ini.
Akhbar hari ini melaporkan, SPRM sudah membekukan 900 akaun yang mempunyai kaitan dengan siasatan skandal 1MDB, termasuk milik UMNO.
Sumber berkata, mereka yang mendapati tidak lagi mempunyai akses kepada akaun mereka sejak beberapa hari lalu, termasuk individu yang disiasat adalah kerana dipercayai ada kaitan dengan siasatan 1MDB.
Susulan itu, Timbalan Ketua Pemuda AMANAH, Faiz Fadzil, hari ini menggesa pihak berkuasa menyiasat akaun pihak lain yang didakwa menerima wang daripada UMNO, termasuk PAS.
Katanya, pihak berkuasa perlu menyiasat akaun pihak lain yang menerima wang daripada UMNO, termasuk akaun PAS seperti didedahkan Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar, bahawa PAS ada menerima RM1.5 juta daripada UMNO.
Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Hanafi Mamat, ketika dihubungi memaklumkan, akaun parti itu di negeri itu tidak dibekukan.
"Setakat ini, kita (UMNO Kelantan) tidak kena beku lagi. Kalau kena beku pun bukannya ada duit...UMNO Kelantan miskin," katanya. - BH

Menjawab penggubahan wang haram dalam akaun PAS: Tuduhan lama pun tiada bukti, inikan tuduhan baru



Firman Allah swt dalam Surah al Maidah ayat 8,
ÙŠَا Ø£َÙŠُّÙ‡َا الَّØ°ِينَ آمَÙ†ُوا Ùƒُونُوا Ù‚َÙˆَّامِينَ Ù„ِÙ„َّÙ‡ِ Ø´ُÙ‡َدَاءَ بِالْÙ‚ِسْØ·ِ ۖ ÙˆَÙ„َا ÙŠَجْرِÙ…َÙ†َّÙƒُÙ…ْ Ø´َÙ†َآنُ Ù‚َÙˆْÙ…ٍ عَÙ„َÙ‰ٰ Ø£َÙ„َّا تَعْدِÙ„ُوا ۚ اعْدِÙ„ُوا Ù‡ُÙˆَ Ø£َÙ‚ْرَبُ Ù„ِلتَّÙ‚ْÙˆَÙ‰ٰ ۖ ÙˆَاتَّÙ‚ُوا اللَّÙ‡َ ۚ Ø¥ِÙ†َّ اللَّÙ‡َ Ø®َبِيرٌ بِÙ…َا تَعْÙ…َÙ„ُونَ
"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan."
Keceluparan peguam PAN, Faiz Fadzil, Timbalan Ketua Pemuda PAN sepatutnya berasaskan kepada undang-undang dan apa yang dipelajarinya dan diamalkan sebagai pengamal undang-undang.
Sewenang-wenangnya cubaan buat kesekian kalinya para pimpinan PAN sejak tahun 2016 untuk cuba membina persepsi buruk terhadap PAS sama ada dengan memfitnah PAS bergabung dengan Umno atau menerima duit Umno walaupun telah diperjelaskan oleh pimpinan PAS sebelum ini.
Itulah modus operandi mereka bertahun lamanya dan tak pernah berasa menyesal dan bersalah walaupun kaedah itu bercanggah dengan prinsip Islam dan prinsip undang-undang itu sendiri yang kononnya mereka adalah pembela dan pejuang prinsip itu.
Pembuktian terhadap tuduhan PAS sehingga hari ini masih sekadar tuduhan melulu, telahan tiada berasas, berbentuk fitnah dijaja ke sana ke sini, malah PAS telah berjaya di beberapa peringkat prosiding mahkamah samannya di London langsung tidak diendahkan.
Cadangan membekukan akaun PAS hanya berpandukan tuduhan ciptaan lidah bercabang PAN bahawa PAS mesra Umno menjadi ratib setiap saat para pimpinan PAN, walaupun kini kelihatan bekas pimpinan Umno yang kalah pilihan raya berbondong-bondong menyertai PH samada PKR atau PPBM. Ini mesra apa? Mesra fulus dan pangkat ?
Saya ingin menegur dan mengecam keceluparan Faiz Fadzil ini, janganlah berlagak sombong menjadi kerajaan ingin menggunakan kuasa yang rakyat beri dengan semudah menghukum pembangkang.
Saya berharap Kerajaan PH tidak hanya laju dan pantas mencari dan mendedahkan kesilapan dan kepincangan bekas pimpinan kerajaan yang kalah, tapi menutup membuta mata dan memekakkan telinga kepincangan yang pernah dilakukan di kalangan pimpinan kerajaan PH sekarang.
PAS tidak terkejut dan tidak hairan apa yang sedang dibuat oleh Kerajaan PH sekarang dalam mendedahkan korupsi pimpinan Umno dan bekas pimpinan kerajaan kerana mereka bukan lagi berkuasa. Apa yang mengkagumkan ialah kejayaan mendedahkan korupsi pimpinan kerajaan yang sedang berkuasa sekiranya ada bukti.
Saya ingin mengingatkan pimpinan Kerajaan PH bahawa tiada kerajaan yang kekal di dunia ini kalau sikap begini diamalkan untuk menghukum pembangkang, bagaimana nasib mereka nanti sekiranya Kerajaan Persekutuan dipegang oleh Umno kembali?
Muhammad Najhan Halim

DAP bayangi Malaysia Baru?


NEGARA ini sedang bergerak menelusuri road map yang dikehendaki oleh DAP. Ketika Presiden PAS memberikan ingatan tentang bahayanya jika ahli Parlimen yang bukan Islam lebih ramai daripada ahli Parlimen Islam, kamu pandang sebelah mata peringatan itu. Kamu tak peduli dan bahkan kamu hina-hina dan rendah-rendahkan pandangan beliau. Sekarang kamu lihat.
Sebagai seorang pemimpin tertinggi sebuah parti Islam, Tuan Guru Haji Hadi (TGHH) memberikan pandangan dan peringatan bersumberkan peringatan Allah dalam al-Quran. Tapi kamu kata apa TGHH tahu pasal politik. Dia hanya layak mengajar di masjid dan surau-surau sahaja. TGHH bukan Nabi mahupun Rasul. Tapi beliau membacakan peringatan Allah dari Quran yang dibacakan oleh Rasul kepada kaum Baginda.
Hancurnya kaum yang terdahulu kerana membelakangkan peringatan para Rasul yang didatangkan dari Allah. Rasul diremehkan oleh mereka dan diperolok-olokkan. Kita sedang melalui ulangan fasa-fasa tersebut.
Waspadalah wahai kaumku. Jangan dikeranakan keghairahan kamu berpolitik dan berpesta kemenangan menyebabkan kamu lupa peringatan Allah. Kalimat-kalimat kufur dinobat dan dimuliakan sedangkan kalimat Allah dibelakangkan. Aliran pemikiran manusia diagung-agungkan dan dianggap paling sesuai, sedangkan kalimat aqidah dianggap kolot dan terkebelakang. Hasilnya orang-orang yang jahil agama dimuliakan dan orang-orang soleh yang berpegang teguh kepada agama dipermainkan.
Kami tidak terkejut dengan fenomena itu. Kerana semuanya telah dilakarkan Allah dan Rasul-Nya dalam al-Quran dan al-Hadis. Kami hanya ingin berkongsi dengan kamu wahai kaum, bangsa dan saudaraku tentang peringatan itu. Kubur kita memang lain-lain dan masing-masing, namun Mahsyar kita nanti dan Sirat adalah sama.
USTAZ MOKHTAR SENIK

Thursday, June 28, 2018

1 Juta Penganut Syiah Di Malaysia – Faizal Tehrani

1 juta penganut Syiah di Malaysia. Dr. Mohd Faizal Musa atau dikenali sebagai Faizal Tehrani menyatakan, angka tersebut merupakan unjuran yang diambil dari sumber dari Iran. Beliau bagaimanapun, menyatakan angka yang lebih realistik bagi penganut Syiah yang berada di Malaysia, berada sekitar 100,000 hingga ke 500,000 orang. 

Bercakap di Seminari Teologi Malaysia, Seremban, beliau membentangkan dapatan daripada kertas kerja bertajuk “State-backed Discriminations Against Shiah Muslims in Malaysia since 1996-2014”. Faizal Tehrani mendakwa, golongan “The Other Muslims” seperti penganut Syiah didiskriminasi melalui pelbagai cara di Malaysia. 

Titik paling utama kepada penindasan yang disebutkannya ini bermula dengan Fatwa pengharaman Syiah yang dikeluarkan pada tahun 1996. 

Ketika ditanyakan persoalan berkenaan solusi kepada masalah golongan Syiah di Malaysia, Faizal Tehrani yang juga Felo Penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata: 

“Diskriminasi terhadap Syiah di Malaysia agak unik, tidak sama seperti di Pakistan di mana kita tidak tahu siapa ‘para pelakunya’, tetapi di Malaysia, kita tahu Kerajaan merupakan pihak yang menindas golongan Syiah,” 


Mengenai bantuan yang diterima oleh golongan Syiah di Malaysia, beliau menyatakan bantuan dari pihak tempatan agak kurang. Walaubagaimanapun, pada 2010, Syiah dari Amerika Syarikat dan Eropah menghulurkan bantuan dengan menderaf laporan untuk dikemukakan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menjemput campurtangan antarabangsa. 

“Sebahagian dari peranan saya ialah untuk membantu mereka (penganut Syiah) dengan mengangkat perkara ini dalam dunia akademik dan menyuarakan perjuangan mereka di Geneva… 

Saya berharap, Syiah negara asing dapat membantu saudara-saudara mereka di Malaysia,” Faizal Tehrani juga membuat pengakuan bahawa beliau telah pun membuat ziarah suci ke Karbala dan mengibarkan Jalur Gemilang di sana. Program tersebut turut menyaksikan kehadiran Dr Eugene Yapp sebagai salah seorang panelis. - Menara.Com

Nilai barangan dirampas antara RM900j hingga RM1.1b di kediaman Najib bekas PM

Jumlah keseluruhan nilai barangan dirampas di kediaman berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ialah antara RM900 juta hingga RM1.1 bilion, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh.
Amar Singh berkata, sebanyak 12,000 pelbagai barang kemas ditemui dalam 25 daripada 72 beg yang dirampas polis.
Antara barang kemas itu ialah cincin, berlian, gelang dan subang yang keseluruhannya dengan nilai pasaran kira-kira RM880 juta.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 2,200 unit adalah cincin, 1,400 rantai, gelang tangan 2,100 unit, subang 2,800 unit, kerongsang 1,600 unit dan tiara 14 unit.
"Barang paling berharga adalah seutas rantai emas dengan berlian putih berharga RM6.4 juta," katanya.
Bercakap pada sidang media khas di Bukit Aman, di sini, sebentar tadi, Amar Singh juga berkata, sebanyak 567 beg tangan membabitkan 37 jenama seperti Hermes, Prada dan Chanel serta Bijan.
Beg tangan Hermes saja bernilai kira-kira RM51.3 juta dan paling mahal berharga RM1.6 juta.
Selain itu, turut dirampas 234 cermin mata hitam seperti Gucci dan Dior kesemuanya bernilai RM374,000.
Katanya, sebanyak enam beg mengandungi 423 utas jam tangan bernilai RM78 juta membabitkan lebih 100 jenama.
"Jam tangan paling mahal dirampas adalah Rolex Paul Newman Daytona yang bernilai RM3.5 juta, Chopard (RM2.5 juta), Richard Mille (RM1.6 juta)," katanya.
Beliau berkata, kesemua barang kemas dan wang kini disimpan di Bank Negara.
Dalam sidang akhbar sebentar tadi, beliau berkata, pada 21 Mei hingga 25 Jun lalu, JSJK sudah buat pengiraan dan pemeriksaan barang dirampas.
"Pengiraan dan pemeriksaan ambil masa lama kerana angka adalah besar.
"Lapan pasukan khas terdiri daripada pakar dan pegawai terbabit dalam pengiraan dan pemeriksaan membabitkan 150 anggota," katanya.
Selain itu, Amar Singh juga mengesahkan jumlah rampasan wang tunai pelbagai mata wang di enam premis yang diserbu berkaitan siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM116.7 juta.
Bagaimanapun, katanya, wang tunai yang dirampas itu tidak dapat dipastikan ia milik UMNO seperti yang didakwa.
Amar Singh berkata, sumber atau penyumbang kepada barang-barang yang dirampas sedang dikenal pasti untuk diambil keterangan.
Beliau juga mengesahkan polis menemui pelbagai dokumen di premis di Putrajaya dan polis masih menyiasat kaitannya dengan skandal 1MDB.
"Kita akan memanggil Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor dalam masa terdekat untuk diambil keterangan," katanya.
Pada sidang media 25 Mei lalu, Amir Singh dipetik berkata, 35 daripada 72 beg yang dirampas dari sebuah unit kediaman di Pavillion Residences berkaitan Najib, mengandungi wang ringgit bernilai RM114 juta.
Beliau juga memaklumkan 37 lagi beg dirampas mengandungi wang tunai manakala selebihnya berisi barang kemas dan jam tangan mewah.- BH

PH perlu masa lebih kerana tak mampu tunai manifesto dalam 100 hari

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan mengambil masa yang lebih panjang untuk menunaikan semua janji manifeso dalam 100 hari atas faktor hutang negara.

"Kita ada masalah kewangan dan perlu bayar hutang. Jika dahulu kita tidak tahu sejauh mana masalah ini (hutang negara) berlaku. Sekarang kita sudah mendapat tahu masalah ini dan kita mohon sedikit ruang untuk untuk tunai semua janji dalam 100 hari," katanya ketika ditemuramah dalam lintas langsung rancangan Bernama News di Bernama News Channel hari ini.

Lintas langsung tersebut bersiaran dari Seri Perdana, Putrajaya pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Jemaah Menteri 2018.

Bagaimanapun katanya, kerajaan PH telah menunaikan beberapa janji yang telah dibuat dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke 14 termasuk pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar dan menstabilkan harga minyak.

Dalam pada itu Dr Wan Azizah turut melahirkan rasa gembira dan bersyukurnya kerana setelah sekian lama beliau dan keluarga dapat meraikan Aidilfitri bersama suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah dibebaskan dari penjara.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut menyeru rakyat Malaysia supaya terus menjaga keamanan dan perpaduan di negara ini walaupun terdiri dari pelbagai kaum dan agama.

"Kita ini unik. Negara kita terdiri dari rakyat yang berbilang kaum dan bangsa. Itu aset yang mesti kita pelihara, pupuk dan perbaiki. Dunia telah menyaksikan kita dapat menukar kerajaan (Barisan Nasional) yang sudah 61 tahun itu dengan aman dan tenteram," katanya.-Bernama

100 hari tak cukup tunai semua 10 janji HARAPAN

Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui kerajaan memerlukan masa lebih daripada 100 hari untuk menunaikan janji-janji yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) menjelang pilihan raya umum (PRU) lalu.
Menurut perdana menteri hal itu kerana manifesto terbabit dirangka ketika gabungan HARAPAN tidak menjangkakan mampu memperoleh kemenangan selesa mengatasi BN.
“Memanglah semasa itu kami sangka kami tidak boleh menang (PRU) lalu kami memberikan janji-janji yang kuat, yang kami dapati sukar untuk dilaksankaan pada hari ini.
"Kami katakan (dalam manifesti) bahawa dalam 100 hari kami akan menunaikan 10 janji berbeza. Tetapi sekarang kami dapati agak sukar untuk memenuhi objektif 100 hari berkenaan," katanya.
Dr Mahathir berkata demikian semasa berucap selepas mesyuarat agung tahunan Dewan Perdagangan Amerika di Kuala Lumpur hari ini.
Untuk kali pertama BN dinafikan haknya untuk menjadi kerajaan sejak merdeka apabila kecundang di tangan HARAPAN dalam PRU ke-14 lalu.
Pencapaian itu membolehkan Dr Mahathir sekali lagi dilantik sebagai perdana menteri. Beliau pernah menjadi perdana menteri selama kira-kira 22 tahun, mulai 1982.
Untuk mendapatkan sokongan rakyat HARAPAN menawarkan pelbagai janji melalui manifestonya, termasuk 10 janji yang diikrar akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari.
Antaranya ialah menangguhkan pembayaran hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), meningkatkan tahap gaji minimum dan menubuhkan jawatankuasa bagi membincangkan Perjanjian Malaysia 1963.
Turut dijanjikan, penubuhan suruhanjaya siasatan diraja mengenai skandal melibatkan 1MDB, Felda, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Lembaga Tabung Haji.
Menurut Dr Mahathir ada beberapa janji HARAPAN sudah dilaksanakan seperti mengeluarkan nama peminjam PTPTN daripada senarai hitam, memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), memperkenalkan semula subsidi minyak serta mengkaji semula semua projek mega yang diluluskan kerajaan terdahulu.
Walaupun memerlukan masa lebih lama, Dr Mahathir memberi jaminan kerajaan HARAPAN tetap akan menunaikan segala janji yang diikrarkan sebelum ini.
"Kami masih melakukannya, tetapi ia mungkin memerlukan masa lebih sedikit daripada 100 hari.
"[...] Kami sangat, sangat bekerja keras siang dan malam untuk cuba membina semula ekonomi negara ini," katanya.
Menurut perdana menteri kerajaan semasa kekurangan tokoh berpengalaman kerana HARAPAN - sebahagian besarnya - selama ini ialah parti pembangkang.
Katanya, selama 60 tahun pembangkang - kecuali Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang sebahagiannya dianggotai bekas menteri dan perdana menteri) - sentiasa cuba mengalahkan kerajaan BN dan gagal.
"Sekarang mereka menang tetapi tidak tahu bagaimana kerajaan beroperasi.
"Ia jauh lebih mudah untuk mengkritik orang lain dari luar tetapi tidak begitu mudah (apabila) anda berada di dalam (kerajaan), anda perlu melaksanakan.
"Tetapi kami akan tetap melaksanakannya kerana menjadi matlamat kami untuk melakukannya pada tahap terbaik," katanya. - Malaysiakini

Wednesday, June 27, 2018

Ahli PAS perlu proaktif membantu kerajaan Negeri Terengganu Dalam isu Air Percuma


Suasana panas di Terengganu sedang bergelombang dimana isu air percuma telah di mainkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, dengan mencipta pelbagai persepsi liar mengatakan yang Kerajaan PAS Terengganu gagal melaksanakan Manifestonya & menuduh menipu Rakyat.

Kembali kepada isu yang terdahulu dimana sewaktu BN memerintah dahulu, Air dibawah RM 4 ia tak perlu dibayar atau percuma. Pemberian ini diberi kpd semua rakyat samada kaya atau miskin. Dana yang mereka dapat pun daripada persekutuan krn Kerajaan BN memerintah.

PAS melihat daripada sudut yang lain pula walaupun BN dahulu bagi air percuma tapi dilihatkan kurang adil. Antaranya Orang kaya tak kena bayar bil air & Orang miskin pun tak kena bayar bila air juga.

Walaupun kaya yang bergaji RM8,000 sebulan, Tinggal di rumah berkenaan hanya 2 orang, bil air setiap bulan kurang 19m3 maka orang kaya ini tak kena bayar bil air.

Orang miskin ini yang tinggal 3 keluarga 17 orang satu buah rumah, bil air melambung sehingga 30m3, maka orang miskin ni kena bayar sepenuhnya bil air.

Adakah keadilan ini yang diperkatakan oleh mereka yang menuduh ?

Kerajaan PAS sekarang menawarkan jika orang kaya walaupun guna kurang daripada 20m3 tetap kena bayar. Orang miskin walaupun ia menggunakan air lebih daripada 20m3, sebagai contoh penggunaan 30m3, orang miskin ini hanya bayar 10m3 sahaja, yang 20m3 adalah percuma.

Macam mana untuk mengenali orang miskin atau orang kaya ?

Orang miskin ada Dalam senarai e-kasih dan juga mereka yang tinggal di rumah PPRT layak terima air percuma.

Bagaimana orang miskin Dalam kampong tetapi tiada Dalam senarai e-kasih, apa yang perlu dilakukan untuk membantu mereka ? Disini kita sebagai ahli PAS perlu ambil peranan sebagai mata & telinga untuk kerajaan. Tindakkan proaktif daripada ahli PAS amat perlu dengan memaklumkan pada JKKK kampong masing-masing agar nama mereka dapat dimasukkan ke Dalam senarai e-Kasih, yang kebanyakkan nama orang PAS tiada Dalam senarai tersebut.

Banyaknya harta Pemimpin UMNO/BN - Bekas PM?

Jumlah rampasan yang dikaitkan dengan bekas PM, Datuk Seri Najib Razak mengikut kategori: 

Wang tunai (dalam 35 beg): RM116 juta 
Barang-kemas (dalam 25 beg, 12,000 jenis barangan): RM442 juta
567 buah beg tangan (37 jenama): RM51.3 juta
Jam tangan (423 utas, 100 jenama): RM78 juta
Cermin mata (234 bingkai, 34 jenama): RM374 ribu

Menurut Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, jumlah keseluruhan barang rampasan dalam anggaran RM900 juta - RM 1.1 billion.

BANYAKNYA harta yang dirampas daripada milik keluarga Datuk Seri Najib Razak. Nilai lebih RM1 bilion. Wang tunai RM116.7 juta? Seutas rantai leher saja bernilai RM6 juta? Daripada mana kekayaan ini diperolehi? Gaji, menabung, pesaka atau daripada mana?
Sebab itu kita harapkan supaya SPRM dan pihak berkuasa boleh menyiasat terus mereka yang hidup mewah melebihi pendapatan. Jangan tunggu tidak ada kuasa baru ambil tindakan. Bertindaklah kepada siapa yang disyaki mendapat harta yang tidak sepadan dengan pendapatan walaupun masih berkuasa. Jangan sampai sudah jadi barah tahap 4, baru hendak bertindak.
Kesannya rakyat yang menderita. Keluar universiti kerja tidak ada. Biasiswa tidak ada. Hospital tidak cukup doktor pakar. Kos sara hidup meningkat. Harga rumah meningkat. Rakyat masih ramai tidak memiliki rumah dan lain-lain lagi.
Prinsip "kebenaran apabila berkuasa" kena buang. Bila tidak ada kuasa baru salah. Kerana prinsip ini akan menghancurkan negara. Tangkap sama ada yang berkuasa atau tidak berkuasa. Tidak ada siapa yang boleh mengatasi undang-undang. Kita tidak mahu apabila ada kuasa semua betul dan benar, kes boleh digugurkan. Apabila tidak ada kuasa , semuanya salah.
USTAZ IDRIS AHMAD

MP BN Khianat pengundi Bukit Gantang menjadi bebas sokong PH ?

AKHIRNYA jam 4 petang tadi Dato’ Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (MP Bukit Gantang) isytihar keluar Umno dan jadi MP Bebas. Janji bulan dan bintang waktu pilihan raya.

Saya hendak tunggu 100 hari untuk edar janji khawasul khawas kepada pengundi Bukit Gantang supaya pengundi tuntut janji. Tiba-tiba sudah isytihar keluar hari ini.
Banyak zakat dikeluarkan waktu kempen PRU14. Almaklumlah dia orang kaya. Tengok bas PLKN, teringatlah Dato’ Syed. Guna masjid, sekolah agama, sekolah biasa bebas isytihar janji-janji manis. Kempen pada pengundi apa yang pengundi dapat di bawah PAS menang Parlimen Bukit Gantang. Kena pilih saya. Ini manifesto dia di Bukit Gantang. Pengundi teruja.
Malam di pusat perjumlahan undi lepas saya kata dekat dia, “teruk hang Syed, aku tak apa, aku miskin, hang kaya, hang menang.” BN kalah di peringkat pusat. Dia sudah termenung malam itu.
Saya tidak ada apa-apa. Walaupun kalah tetap bersama masyarakat di majlis kenduri, ziarah jenazah dan beri bantuan sekadar yang mampu. Duduk di Kampung Sungai Petai, seronok, rumah depan surau. Masih kuliah macam biasa bimbing masyarakat kenal agama. Tenteram dan tenang. Tak adalah pula untuk tukar parti, insya Allah.
Saya tidak berniaga. Saya tidak ada kontrak dengan Kementerian Pertahanan. Saya orang biasa walaupun pernah menjadi pensyarah ITM. Dato’ Rosli (bekas Ketua Bahagian Bukit Gantang) tentu suka baca kenyataan ini.
Hj Idris Hj Ahmad.
27/6/18

5,500 penduduk nikmati bekalan air percuma

KUALA TERENGGANU – Seramai 5,500 penerima terdiri daripada golongan miskin dan berpendapatan rendah di negeri ini telah memperoleh manfaat menerusi pemberian air percuma oleh kerajaan Terengganu.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau, Dr Mamad Puteh berkata, jumlah itu dijangka akan meningkat berdasarkan semakan semula terhadap senarai penerima e-Kasih.

Setakat ini sekitar 5,500 penerima telah beroleh manfaat bagi penggunaan 20 meter padu air. Mereka terdiri dalam senarai penerima e-Kasih dan penerima Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

“Kita jangka jumlah penerima akan bertambah setelah pembukaan permohonan baharu (e-Kasih) selain penyelarasan kaedah baharu yang akan di laksana bagi membolehkan mereka yang layak mendapatkan bantuan bekalan air,” katanya kepada Sinar Harian.

Mamad turut menarik perhatian dengan mengakui, masih terdapat salah faham oleh segelintir pihak terhadap inisiatif yang diumumkan Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada 15 Mei lalu itu.

“Saya ingin jelaskan bahawa tawaran itu hanya untuk golongan berpendapatan rendah dan miskin sahaja. Kerajaan Terengganu hari ini komited dalam menjaga kebajikan rakyat, lebih-lebih lagi kepada golongan ini.
“Isu ini timbul apabila mereka yang bukan dalam kalangan miskin dan berpendapatan rendah mempersoalkan keistimewaan ini seolah-olah kerajaan memungkiri manifesto, sedangkan mereka tidak termasuk dalam kumpulan penerima ini,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai pemberian air percuma, katanya, ia hanya meliputi penggunaan sebanyak 20 meter padu ke bawah sahaja.

“Sekiranya mereka menggunakan lebih daripada kadar itu, contohnya 25 meter padu, mereka hanya perlu membayar bagi penggunaan 5 meter padu sahaja.

“Golongan yang layak akan dikenal pasti menerusi data yang telah dikumpulkan oleh sistem e-Kasih dan PPRT.

"Kita juga akan keluarkan kaedah baharu agar data yang diperoleh lebih telus dan menyeluruh supaya keistimewaan ini dapat dirasai oleh mereka yang layak,” katanya.-SH

Pemberian Air Percuma: Perbandingan Dan Penerangan

Perlaksanaan air percuma telah dilaksanakan dalam tiga bentuk :

1-Kerajaan BN Terengganu penggal lalu, telah merealisasi air percuma kepada rakyat yang menggunakan kurang daripada 21 m3 sahaja di penghujung kepimpinan Dato Seri Ahmad Razif dan hampir PRU14. Sesiapa yang menggunakan air lebih daripada 20 m3, dia mesti membayar sepenuhnya. Contohnya penggunaan 19m3 adalah percuma, tetapi apabila digunakan 22m3, anda mesti membayar sepenuhnya harga 22m3 itu. Cuba bayangkan, satu pasangan miskin yang mempunyai anak yang ramai, pasti tahap penggunaan airnya tinggi maka mereka terpaksa membayarnya penuh dengan sebab penggunaan melebihi daripada 20 m3. Bandingkan pula pasangan yang kaya hanya tinggal berdua atau memiliki keluarga kecil yang tahap penggunaan airnya sedikit, maka dia tidak perlu membayar dengan sebab penggunaan air kurang daripada 20 m3. Mekanisma ini jelas hanya memberi peluang golongan kaya seperti contoh di atas untuk mendapat kelebihan daripada tawaran ini, tidak kepada keluarga miskin yang besar. Adil atau tidak mekanisma ini?

2-Kerajaan Selangor yang kaya pula telah menawarkan 20 m3 air percuma pada seluruh rakyat samada kaya atau miskin. Mekanisma sangat baik dan sememangnya menjadi impian Kerajaan Negeri Terengganu untuk turut melaksanakannya. Akan tetapi persoalannya, adakah Kerajaaan Terengganu mampu melaksanakan mekanisma ini dalam masa yang singkat ini. Sedangkan, negeri-negeri lain yang lebih kaya daripada Terengganu belum lagi mampu menawarkannya.

3-Kerajaan Terengganu yang baharu, sebelum ini telah menawarkan dalam manifesto PRU 14 kepada rakyat Terengganu untuk memberi 20 m3 air percuma kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah sahaja. Tawaran yang ke-8 dalam manifesto ini jelas ditulis hanya kepada golongan miskin, berpendapatan rendah dan dibuat sebagai satu penyelesaian untuk meringankan beban kos sara hidup golongan sasaran ini. 

4-Kerajaan Negeri Terengganu dibawah PAS  juga sangat realistik, ada kajiannya yang terperinci dalam membuat manifesto dan tidak mahu memberikan satu janji yang sangat besar, dianggap melampau dalam berjanji yang akhirnya membebankan kewangan negeri, dan rakyat turut merasa tertipu. Oleh itu, Kerajaan Negeri Terengganu tidak memberi jaminan untuk memberikan air 20 m3 percuma kepada semua golongan, tetapi mensasarkan hanya golongan miskin di Terengganu sahaja.

5-Kerajaan Negeri Terengganu meletakkan asas dalam pembangunan ekonomi rakyat dan kebajikan hidup mereka berteraskan Islam. Ekonomi Islam meletakkan keutamaan dalam sumbangan kebajikan dan bantuan kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah. Ekonomi Islam meletakkan asas kawalan agar jangan kekayaan itu berlegar antara golongan kaya dan mewah sahaja.

6-PAS dalam manifestonya juga tidak pernah berjanji untuk melaksanakan segera atau dalam tempoh 100 hari pemerintahannya misalnya atau waktu-waktu tertentu. Hanya PAS berjanji untuk dilaksanakan, ketika PAS memerintah iaitu dalam tempoh 5 tahun. Walaupun demikian, Kerajaan Terengganu agak cepat bertindak untuk melaksanakan segera tawaran ini dalam tempoh 30 hari supaya rakyat berpendapatan rendah dan miskin dapat mengecapi janji ini.

7-Pada peringkat permulaan, tawaran ini akan dikecapi oleh golongan miskin yang disenaraikan dalam e-Kasih sahaja dahulu. Sebagaimana yang Kerajaan Negeri Terengganu tekankan sebelum ini, apa-apa sistem tinggalan kerajaan terdahulu yang difikirkan baik, akan diguna pakai sebagai rujukan, sebelum sebarang perubahan dilakukan. Kerajaan Negeri Terengganu sedang merancang untuk mengkaji semula senarai e-Kasih. Di samping itu, Kerajaan Negeri Terengganu sedang membina mekanisma baru untuk mengenalpasti golongan miskin dan berpendapatan rendah yang tiada dalam senarai e-Kasih bagi sama-sama menikmati kemudahan ini. 

8-Moga rakyat Terengganu bersabar untuk melihat kejayaan perlaksanaan tawaran ini agar dapat dirasai oleh golongan yang benar-benar layak untuk meringankan beban hidup keluarga. Kerajaan juga menyeru agar segala maklumat berkenaan perkara melibatkan dasar Kerajaan Negeri, rakyat mendapatkannya melalui saluran rasmi, dan bukannya khabar-khabar angin di alam maya yang mungkin dimanipulasikan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Terima kasih.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan,
Dakwah dan Penerangan Negeri Terengganu
12 Syawal 1439/26 Jun 2018