Search This Blog

Wednesday, June 27, 2018

5,500 penduduk nikmati bekalan air percuma

KUALA TERENGGANU – Seramai 5,500 penerima terdiri daripada golongan miskin dan berpendapatan rendah di negeri ini telah memperoleh manfaat menerusi pemberian air percuma oleh kerajaan Terengganu.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau, Dr Mamad Puteh berkata, jumlah itu dijangka akan meningkat berdasarkan semakan semula terhadap senarai penerima e-Kasih.

Setakat ini sekitar 5,500 penerima telah beroleh manfaat bagi penggunaan 20 meter padu air. Mereka terdiri dalam senarai penerima e-Kasih dan penerima Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

“Kita jangka jumlah penerima akan bertambah setelah pembukaan permohonan baharu (e-Kasih) selain penyelarasan kaedah baharu yang akan di laksana bagi membolehkan mereka yang layak mendapatkan bantuan bekalan air,” katanya kepada Sinar Harian.

Mamad turut menarik perhatian dengan mengakui, masih terdapat salah faham oleh segelintir pihak terhadap inisiatif yang diumumkan Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada 15 Mei lalu itu.

“Saya ingin jelaskan bahawa tawaran itu hanya untuk golongan berpendapatan rendah dan miskin sahaja. Kerajaan Terengganu hari ini komited dalam menjaga kebajikan rakyat, lebih-lebih lagi kepada golongan ini.
“Isu ini timbul apabila mereka yang bukan dalam kalangan miskin dan berpendapatan rendah mempersoalkan keistimewaan ini seolah-olah kerajaan memungkiri manifesto, sedangkan mereka tidak termasuk dalam kumpulan penerima ini,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai pemberian air percuma, katanya, ia hanya meliputi penggunaan sebanyak 20 meter padu ke bawah sahaja.

“Sekiranya mereka menggunakan lebih daripada kadar itu, contohnya 25 meter padu, mereka hanya perlu membayar bagi penggunaan 5 meter padu sahaja.

“Golongan yang layak akan dikenal pasti menerusi data yang telah dikumpulkan oleh sistem e-Kasih dan PPRT.

"Kita juga akan keluarkan kaedah baharu agar data yang diperoleh lebih telus dan menyeluruh supaya keistimewaan ini dapat dirasai oleh mereka yang layak,” katanya.-SH

No comments: