Mana mungkin Peguam Negara non muslim nasihat Agong berkaitan ehwal Islam
BANGI, 18 Ramadan 1439H, Ahad – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) melahirkan kembimbangan sekiranya pakar Perlembagaan Tommy Thomas dilantik menjadi Peguam Negara.
Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Peguam Negara perlu menguasai Bahasa Melayu dengan baik.
“Mengendalikan bidang undang-undang negara dengan penguasaan bahasa kebangsaan yang lemah tidak layak diangkat sebagai Peguam Negara.
“Setakat yang kami tahu, Tommy Thomas tidak mempunyai penguasaan Bahasa Melayu yang baik. Jadi kelayakan beliau untuk jawatan Peguam Negara tidak mencukupi,” katanya.

Krisis pelantikan Peguam Negara wujud selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) memohon pekenan Yang di-Pertuan Agong supaya Tan Sri Mohamed Apandi Ali dipecat, dan digantikan dengan peguam kanan Tommy Thomas, namun istana belum memberi apa-apa jawapan.
Thomas adalah peguam yang pada 18 November 2005 lalu menyatakan bahawa Malaysia bukan negara Islam, sebaliknya adalah sebuah negara sekular.
Dengan latar belakang Thomas, Azmi mengakui sememangnya wajar Peguam Negara dilantik dalam kalangan orang Melayu dan Islam sahaja.
Ini kerana katanya, kedudukan Peguam Negara sangat penting dalam melihat perkembangan undang-undang sivil dan syariah di negara ini.
“Agong sendiri telah memberi kenyataan baginda mahu Peguam Negara menasihati baginda mengenai hal berkaitan urusan undang-undang syariah. Mana mungkin Peguam Negara yang bukan Islam mempunyai kredibiliti untuk menasihati Agong mengenai hal tersebut.
“Sementara Agong perlu bertindak sesuai dengan nasihat kerajaan, baginda mempunyai hak untuk mempersoal nasihat kerajaan, mengambil kira konteks negara, tugas dan tanggungjawab yang pelbagai serta hal-hal yang mungkin tidak dapat dikendalikan oleh Peguam Negara,” katanya.-IsmaWeb
No comments:
Post a Comment