CADANGAN pelantikan peguam Tommy Thomas sebagai Peguam Negara adalah satu petunjuk jelas bahawa amanah rakyat yang terlalu ingin melihat nilai integriti dikembalikan kepada salah satu institusi penting negara ini sedang diceroboh.
Ia juga melondehkan suatu persamaan ketara antara kerajaan baru dengan kerajaan terdahulu yang gagal meletakkan kepentingan moral dan integriti kepimpinan melebihi kepentingan peribadi.
Posisi Peguam Negara bukanlah calang-calang jawatan. Selain kelayakan teknikal yang telah jelas diperincikan dalam Perlembagaan Negara, jawatan ini seharusnya digalas oleh individu yang mempunyai rekod yang bersih, adil, dilihat adil dan yang paling penting tidak mempunyai apa-apa rekod kepentingan dan pertalian dengan pihak kerajaan.
Dengan pelbagai kontroversi menyelebungi penjawat sebelum ini, kerajaan sepatutnya membuat penelitian yang lebih cermat apabila mengemukakan nama sebagai Peguam Negara. Dan Tommy bukanlah individu yang menepati ‘kelayakan’ di atas.
Beliau mempunyai rekod panjang sebagai penyokong kuat kerajaan sekarang semasa era mereka sebagai pembangkang dan ini memberi petunjuk jelas kompas kepentingan beliau terhadap kerajaan semasa jika beliau menjawat tugas Peguam Negara.
Menjelang PRU ke-13, beliau telah berkempen supaya Pakatan Rakyat dipilih untuk menggantikan kerajaan BN. Sebaik berakhir PRU ke-13, Pakatan Rakyat telah mengambil khidmat beliau dalam memfailkan saman terhadap SPR bagi mengisytiharkan keputusan pilihanraya tersebut sebagai tidak sah.
Beliau juga merupakan antara barisan peguam yang mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dalam siri rayuan bagi menggugurkan hukuman penjara dalam kes beliau. Dengan DSAI dijangka mengambil tampuk pimpinan kerajaan tidak lama lagi, apakah jaminan yang kerajaan mampu berikan bahawa Tommy boleh menjalankan tugas beliau dengan penuh integriti dan amanah?
Lebih menambah curiga kepada rakyat, Tommy juga pernah berkhidmat untuk Lim Guan Eng bagi dua kes pecah amanahnya yang masih berjalan di Mahkamah Tinggi sejak 2016. Terbaru, kes ini telah ditangguhkan sehingga Julai depan apabilan barisan peguam Lim Guan Eng memaklumkan bahawa mereka akan membuat permohonan kepada Jabatan Peguam Negara untuk menggugurkan pertuduhan ini.
Dan umum mengetahui bahawa Peguam Negara mempunyai kuasa mutlak untuk menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding sesuatu kesalahan.
Soalan kepada kerajaan masih sama. Apakah jaminan yang kerajaan mampu berikan bahawa Tommy boleh menjalankan tugas beliau dengan penuh integriti dan amanah?
Melihat satu lagi potensi pencerobohan amanah jawatan Peguam Negara ini, rakyat amat berhak untuk menzahirkan penentangan cadangan pelantikan Tommy.
Realitinya rakyat sudah amat meluat dengan kisah penjawat tinggi awam yang dilihat dilantik untuk menjaga kepentingan tuan politik mereka berbanding berkhidmat dengan penuh integriti dan amanah kepada rakyat dan negara.
Dan khabar bahawa cadangan perlantikan Tommy ini disokong sebulat suara oleh setiap parti komponen Pakatan Harapan adalah sama merisaukan apabila seolah-olah tiada langsung proses saringan yang amanah dilakukan. Belum sampai sebulan rakyat membuangnya, kenapa dilempar semula sampah begini kepada kami?
Adakah prinsip integriti dan amanah diberi makna yang berbeza sebaik berada dalam kandang kuasa politik?-Ismaweb
Azim Luqman
Rakyat
Rakyat
No comments:
Post a Comment