Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak bagi Mesyuarat DUN Ke-14, hari ini.
Koo Ham, 57, dilantik pada Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Sidang DUN Ke-14 bagi pemilihan Speaker dan angkat sumpah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), di sini.
Nama wakil rakyat DAP itu dicadangkan oleh ADUN Tebing Tinggi, Abdul Aziz Bari, dan disokong ADUN Pasir Panjang, Yahaya Mat Nor.
Koo Ham yang juga Penasihat DAP Perak dipilih melalui pengundian mengatasi dua calon lain, iaitu bekas Timbalan Speaker DUN, Datuk Nasaruddin Hashim, dan Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Misbahul Munir Masduki.
Beliau memperoleh 31 undi, manakala Nasaruddin mendapat 25 undi dan Misbahul Munir (tiga).
Sementara itu, ADUN Behrang, Aminuddin Zulkipli dilantik sebagai Timbalan Speaker DUN Perak.
Aminuddin dari Parti Amanah Negara (AMANAH) adalah calon tunggal jawatan itu apabila tarikh pencalonan ditutup pada 26 Jun lalu.
Seterusnya, kesemua 59 ADUN mengangkat sumpah jawatan didahului Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu, diikuti ADUN lain.
Terdahulu, persidangan kecoh kira-kira 30 minit apabila Setiausaha DUN, Kamarulariffin Ayub, mengumumkan ada tiga nama dicalonkan sebagai Speaker DUN Perak.
Pembangkang mempersoalkan pengumuman itu dengan Datuk Saarani Mohamad (Barisan Nasional - Kota Tampan) mendakwa ada empat nama dicalonkan.
Penyokong kerajaan membantah dakwaan itu menyebabkan berlaku pertikaman lidah antara ADUN kerajaan dengan pembangkang.
Bagaimanapun, kekecohan berakhir selepas Kamarulariffin mengumumkan pengundian dilakukan dan kertas undi akan dikutip.- BH
No comments:
Post a Comment