Search This Blog

Saturday, June 23, 2018

Persepsi Menjadi Emosi - Kerajaan PH hanya main isu Hutang Negara

KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) sekali lagi menggunakan isu kewangan negara sebagai alasan mengapa mereka masih belum melunaskan janji yang terkandung dalam manifesto mereka sendiri.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menegaskan bahawa kerajaan masih komited untuk menunaikan janji manifesto yang dibuat sebelum mereka menakluki Putrajaya.
Namun sehingga hari ini masih tiada sebarang tanda perkara ini akan berlaku dan hanya alasan mengenai kewangan negara dimainkan berkali-kali.
Ujarnya, situasi kewangan negara yang tidak begitu baik sehingga menyebabkan hutang negara mencecah RM1 trilion menjadi penyebab kepada penangguhan itu.
“Kita masih komited untuk melaksanakan janji tapi kita akan melaksanakannya apabila situasi kewangan negara bertambah baik kelak.
“Kita perlukan kedudukan kewangan yang stabil untuk melaksanakan janji dan kita pasti akan melaksanakannya. Saya harap anda akan berikan kita masa,” katanya 
Bukankah mitos mengenai hutang negara mencecah RM1 trilion ini sudah berkali-kali dibuktikan oleh pelbagai pihak sebagai satu kenyataan yang keterlaluan dan dibesar-besarkan?
Malah, ramai orang sudah mengetahui bahawa hutang negara hanyalah sekitar RM686 bilion dan jumlah tersebut menjadi RM1 trilion kerana ditambah komitmen lain serta liabiliti luar jangka.
Jadi, mengapa PH masih mahu memainkan isu yang sama? Mereka kelihatan seperti tiada modal baharu untuk dimainkan. Oleh itu, guna sahaja alasan sama lagi dan lagi.
Dalam pada itu, Guan Eng cuba mengambil kredit mengatakan bahawa PH berjaya melaksanakan janji dalam manifesto mereka iaitu menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan pembayaran Bantuan Sara Hidup kepada yang layak.
Perlu diingatkan bahawa GST hanya diletakkan pada kadar sifar atau kosong peratus dan masih lagi belum dimansuhkan sepenuhnya oleh kerajaan. Bila-bila sahaja ia boleh dinaikkan semula.
Diharap kenyataan Guan Eng mengenai perniagaan memudahkan hidup rakyat itu mampu dilaksanakan dan tidak menerima nasib sama seperti manifesto PH yang sehingga kini masih belum ditepati

No comments: