KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu telah
mengubah landskap politik di Malaysia.
Kejayaan Pakatan Harapan (PH) mengemudi Putrajaya dianggap
sesuatu yang luar biasa dalam konteks politik negara kita. Kejayaan ini
disusuli dengan komitmen PH untuk memenuhi janji dalam manifesto yang telah
dibentangkan kepada rakyat.
Dalam konteks PH, mereka cuba membawa sesuatu berlainan dengan
kerajaan terdahulu.
Menariknya, isu islam dan orang Melayu mula kembali disuarakan
disebabkan parti DAP termasuk gabungan dalam PH. Orang mencurigai DAP yang
selama ini dikatakan agak keras tentang kedudukan Islam.
DAP konsisten berpandangan bahawa Malaysia adalah bukan sebuah
negara Islam, tetapi negara sekular. Artikel ini ingin membahaskan mengenai
polemik sama ada Malaysia sebuah negara Islam atau negara sekular.
Islam dalam perlembagaan
Dalam tempoh lebih 60 tahun ini, begitu banyak isu mengenai
Islam dalam perlembagaan diperbincangkan termasuk soal negara Islam, kebebasan
beragama dan sebagainya.
Semua peruntukan Islam dalam perlembagaan mempunyai kesan
menidak atau mengurangkan apa yang didakwa bersifat sekular negara ini.
Sifat utama negara sekular ialah menghalang penyertaan negara
dalam soal agama, termasuk kedudukan istimewa, bantuan kewangan dan
seumpamanya.
Peruntukan mengenai sekular boleh dilihat dalam Perlembagaan
Amerika Syarikat dan India yang secara rasmi mengaku negara sekular. Mahkamah
Agung India mengisytiharkan bahawa ciri itu adalah ciri penting perlembagaannya
yang tidak boleh dipinda.
Mengenai perbahasan sesebuah negara itu sekular atau tidak,
persoalan ini boleh dijawab dengan melihat kedudukan agama dalam sesebuah
negara. Jika sesuatu agama itu tidak diberikan peranan atau tempat langsung
oleh kerajaan, bolehlah negara itu dianggap sekular dalam erti kata sebenar.
Sebagai contoh di Malaysia, sambutan Aidilfitri, Aidiladha,
Tahun Baharu Cina dan Deepavali diisytiharkan sebagai cuti umum. Sesetengah
negeri pula turut memberi kelepasan am sempena sambutan lain seperti Israk
Mikraj atau Nuzul al-Quran.
Hal sama juga dalam bidang ekonomi di mana Akta Perbankan Islam
1983 yang bertujuan agar usahawan boleh mengurus kewangan dan modal mereka
menurut lunas syarak.
Begitu juga dengan Akta Takaful 1984 yang bertujuan mengawal
selia aktiviti takaful di Malaysia. Walaupun persoalan ini dianggap kecil dan
remeh, dari sudut Perlembagaan kewujudannya menekankan betapa negara ini tidak
sekular sepenuhnya.
Piagam Madinah
Dari sudut ilmiah, apa yang dikatakan negara sekular itu ialah
sebuah negara yang tidak memberikan tempat atau pengiktirafan kepada mana-mana
agama dalam apa bentuk sekalipun.
Perlembagaan Persekutuan sendiri tidak menyebut istilah sekular
dalam mana-mana peruntukannya. Bagaimanapun, persoalan sekular tidak terhenti
di situ sahaja kerana dokumen yang ada khususnya berkaitan rundingan dan
laporan Perlembagaan perlu dirujuk.
Ungkapan sekular hanya wujud dalam Kertas Putih yang membuat
perakuan mengenai kedudukan Islam. Ini disebabkan faktor sejarah sewaktu
perundingan kemerdekaan pada 1957, orang bukan Islam terutama British sangat
bimbang terhadap tuntutan melaksanakan Islam.
Mereka mahukan jaminan perisytiharan Islam sebagai agama
Persekutuan tidak mengancam sifat sekular negara ini. Di samping itu, ia juga
untuk menjaga hati bukan Islam dalam Parti Perikatan yang terdiri daripada
orang Cina dan India, walaupun perkara ini tidak perlu kerana Islam mengiktiraf
kedudukan bukan Islam dalam sesebuah negara.
Contoh ini dapat dilihat dalam Piagam Madinah di mana setiap
orang mempunyai hak masing-masing. Walaupun Malaysia tidak boleh dikatakan
negara Islam dalam erti kata yang sebenar, ini tidak pula bermakna Malaysia
menjadi negara sekular.
Jika dirujuk Perkara 3(1) yang mengatakan bahawa Islam adalah
agama bagi Persekutuan, ini telah mengurangkan ciri-ciri sekular. Ia ditambah
lagi dengan Perkara 11(4) yang menyekat penyebaran agama, selain Islam kepada penganut
Islam, menyebabkan ciri sekular itu semakin terhakis.
Namun, kedudukan Islam dalam Perlembagaan tidak harus dibataskan
kepada polemik sama ada sebagai cara hidup atau upacara semata-mata atau
bersifat sekular atau sebaliknya.
Hal yang sama juga berlaku apabila merujuk kepada Perkara 12(2)
yang membenarkan penggunaan wang awam untuk tujuan agama melalui institusi dan
jawatan dalam perkhidmatan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan
mufti yang menunjukkan ia dibenarkan oleh undang-undang bagi perkara terbabit.
Begitu juga dengan media kerajaan seperti RTM yang membenarkan
penyiaran program agama. Ini membuktikan bahawa kedudukan Islam dilebihkan
daripada agama lain, walaupun perlembagaan menjamin hak kebebasan beragama.
Selain itu, ada lagi perkara yang secara keseluruhannya
menidakkan dakwaan Malaysia adalah negara sekular. Satu daripada perkara yang
jelas ialah kedudukan institusi beraja. Sukar untuk menolak bahawa institusi
beraja mempunyai hubungan sangat akrab dengan hal ehwal Islam.
Tolak ciri sekular
Kedudukan ini dengan sendirinya menolak ciri sekular negara ini
disebabkan institusi beraja tegak dan kekal atas alasan agama. Begitu juga
dengan jawatan seperti mufti, kadi, hakim Mahkamah Syariah dan sebagainya.
Pandangan Hashim Yeop Sani mengenai negara Islam yang mana
menurut beliau, adalah sah dari segi undang-undang untuk Malaysia menyatakan
atau menganggap dirinya sebagai negara Islam walaupun tidak semua
undang-undangnya berasaskan hukum Islam.
Perlembagaan memberi jaminan kebebasan beragama yang luas kepada
setiap orang tanpa mengira sama ada warganegara atau tidak.
Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj pada mulanya menyebut Tanah
Melayu sebagai negara sekular, tetapi telah mengubah pandangan beliau pada 1984
dengan mengatakan bahawa Malaysia bukan negara Islam, tetapi bukan negara
sekular secara mutlak.
Pendapat ini selari dengan pendapat Wu Min Aun yang mengatakan
Malaysia is not an Islamic State but a secular state with Islamic
characteristic and bias.
Namun, pendapat Wu Min Aun kurang tepat kerana maksud sekular
yang sebenarnya ialah meminggirkan atau mengkesampingkan terus unsur agama
dalam sesebuah negara.
Pendapat sama juga diberikan oleh penulis seperti Kevin YL Tan
dan Thio Li Ann yang menjelaskan Malaysia mempunyai confessional constitution
yang berbeza dengan perlembagaan sekular.
Dalam perlembagaan sekular, negara mengambil pendirian
berkecuali berhubung dengan agama. Dari segi teori perlembagaan Islam, nama dan
bentuk negara Islam itu adalah tidak penting, yang penting ialah isi dan
dasarnya perlu menepati kehendak Islam.
Penegasan dan memperbesarkan konsep negara sekular dalam
Perlembagaan Persekutuan akan memperkukuhkan lagi pandangan sesetengah pihak
yang ingin memisahkan atau mengurangkan peranan Islam dalam sistem perundangan
negara.
Ternyata Perlembagaan Negara memberi kedudukan istimewa kepada
Islam dan melaluinya, pelbagai perkara mengenai Islam dan kemajuannya,
tercapai. Peruntukan berkaitan Islam dan ruang yang ada perlu digunakan
sepenuhnya bagi mengatasi kekurangan yang ada dan seterusnya memartabatkan
kedudukan Islam di Malaysia.
Jika diteliti, ciri-ciri negara sekular secara umumnya adalah
seperti berikut:
i. Tiada agama rasmi bagi sebuah negara.
ii. Tiada peruntukan melalui dana negara untuk pembangunan
institusi agama dan pendidikan agama.
iii. Undang-undang negara dibuat tanpa membabitkan badan
penasihat agama.
Menurut Mohd Izhar Ariff Mohd Hashim dan Alias Azhar, takrif dan
ciri-ciri negara Islam adalah perkara tidak disepakati ulama, sama ada yang
terdahulu mahupun kontemporari dan tiada juga nas qat'i membincangkan secara
khusus mengenai negara Islam yang sebenarnya.
Takrifan negara Islam
Takrifan negara Islam dibahagikan kepada dua kategori, iaitu
ciri-ciri maksimum dan ciri-ciri minimum. Ciri-ciri maksimum sebuah negara
Islam adalah seperti berikut:
i. Negara Islam harus terlaksana di dalamnya syariat dan syiar
Islam dengan aman dan bebas.
ii. Ditadbir oleh al-Imam atau pemerintah yang tergolong
daripada umat Islam.
iii. Keselamatan dan keamanan berpihak kepada umat Islam.
iv. Undang-undang Islam dilaksanakan secara total dalam kerajaan
Islam.
Perkara (i) dan (ii) yang dinyatakan oleh ulama di atas adalah
titik-titik persepakatan di antara ulama kontemporari dan ulama silam. Perkara
(iii) dan (iv) pula titik perselisihan di antara ulama dua zaman kerana ada di
antara mereka menyebut dan sebahagian lain tidak menyebutnya.
Ciri-ciri minimum yang perlu ada di dalam sebuah negara Islam
adalah seperti berikut:
i. Negara itu haruslah didiami oleh majoriti umat Islam.
ii. Ketua negara dan timbalannya haruslah beragama Islam.
iii. Pentadbiran negara harus dikuasai oleh umat Islam.
iv. Syariat Islam bebas dilaksanakan oleh umat Islam dengan
penuh keamanan.
v. Umat Islam berasa aman sejahtera bila berada di dalam negara
terbabit.
Jelas, ulama tidak berselisih bahawa negara Islam pula perlu
meletakkan al-Quran dan sunah sebagai sumber undang-undang tertinggi. Maka,
jika berhujah menggunakan takrifan ini, ternyata Malaysia bukan negara Islam.
Kesimpulannya, perbahasan Malaysia sebuah negara Islam atau
sekular berdasarkan takrifan yang digunakan oleh seseorang.
Jika seseorang itu, untuk berhujah menggunakan takrifan sekular,
maka jelas Malaysia adalah negara Islam dan sebaliknya jika menggunakan
takrifan negara Islam, jelas Malaysia bukan sebuah negara Islam.
Kedua-dua hujah ini betul berdasarkan takrifan yang diguna pakai
dalam membahaskan Malaysia adalah sebuah negara Islam atau tidak.
Prof Madya Dr Nazri Muslim
Pensyarah Pusat Citra,
Universiti Kebangsaan Malaysia

No comments:
Post a Comment